Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) hari ini telah memaklumkan mengenai status paras air di beberapa sungai utama di Selangor.
Menurut data terkini yang dikeluarkan JPS setakat 9.30 malam sebentar tadi, terdapat empat sungai di Selangor yang berada pada paras bahaya.
Keempat-empat sungai berkenaan antaranya ialah Sungai Klang di Taman Sri Muda dengan status paras air bahaya pada ketinggian 5.56 meter.
Dalam masa sama, Sungai Klang di Bandar Klang turut mengalami paras air sungai bahaya iaitu pada 3.06 meter.
Selain itu, Sungai Langat di Jenderam Hilir pula berada pada paras ketinggian 12.53 meter, sementara Sungai Langat di Dengkil merekodkan ketinggian paras air bahaya pada 7.99 meter.
Selain itu, data JPS tersebut turut menunjukkan dua sungai lain yang berada pada paras amaran, iaitu Sungai Kuang di Kampung Melayu Seri Kundang dengan ketinggian air sungai 23.49 meter.
Manakala Sungai Langat di Bukit Changgang pula berada pada paras amaran dengan ketinggian 4.16 meter.
Data terkini JPS telah dikemas kini pada jam 9.30 malam sebentar tadi.
Susulan itu, penduduk dinasihatkan agar bersiap sedia dan sentiasa berwaspada dengan sebarang kemungkinan bakal berlaku.