Setiap orang pasti mengimpikan untuk memiliki rumah pertama sendiri terutamanya bagi yang sudah berkeluarga. Bagaimanapun, dalam keadaan ekonomi yang sedang beransur pulih pada ketika ini, ramai yang terpaksa melupakan hasrat untuk memiliki rumah kerana menghadapi masalah kewangan.
Tambahan pula, ada yang sudah kehilangan pekerjaan dan kini sedang bergelut untuk mencari rezeki.
Namun, anda sebenarnya masih lagi boleh memiliki rumah pertama walaupun tidak mempunyai pendapatan yang tetap dan gaji kecil.
Skim Jaminan Kredit Perumahan
Bagi yang masih belum tahu, kerajaan telah menyediakan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) untuk membantu pembeli rumah pertama yang tidak mempunyai pendapatan tetap seperti pekerja ekonomi gig dan bebas, pemilik perniagaan, peniaga, nelayan atau usahawan kecil.
Dalam pembentangan Bajet 2022 pada 29 Oktober 2021, kerajaan juga telah mengumumkan mengenai bajet jaminan tambahan bernilai RM2.0 bilion untuk skim tersebut.
Menerusi SJKP, pembeli boleh melakukan pembiayaan sehingga RM300,000 dan ia merupakan pembiayaan jenis pinjaman dan bertempoh.
Tempoh pembiayaan bagi skim ini ialah sehingga 35 tahun atau umur 65 tahun atau mana-mana yang terdahulu dan pinjaman dua generasi turut dibenarkan.
Jaminan perlindungan pula adalah 100% diatas jumlah pembiayaan termasuk pokok dan MRTA/ MRTT yang diperolehi daripada institusi-institusi kewangan yang terlibat.
Sementara itu, kadar faedah atau keuntungan pula ialah seperti yang ditetapkan oleh Institusi Kewangan yang terlibat dan deposit mandatori ialah bersamaan dengan tiga bulan bayaran bulanan.
Apa kriteria kelayakan untuk mohon?
- Warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas.
- Pembelian kali pertama rumah kediaman baru atau rumah sedia ada atau rumah lelongan yang di bawah kategori kos rendah atau sederhana atau mampu milik dan untuk didiami.
- Terbuka untuk rumah kediaman baru atau rumah sedia ada atau rumah lelongan.
- Jumlah bayaran balik kesemua pinjaman pemohon tidak melebihi 65% pendapatan kasar bulanan.
- Tiada rekod tertunggak CCRIS melebihi 2 bulan bagi tempoh 12 bulan terkini.
- Tiada lain-lain rekod kredit yang negatif dalam tempoh 24 bulan.
Cara untuk mohon
1. Kenal pasti rumah yang ingin dibeli
2. Sediakan dokumen-dokumen yang diperlukan
- Menyediakan dokumen sokongan seperti penyata akaun bank, Lesen Perniagaan, Kad Pendaftaran Nelayan atau lain-lain dokumen sokongan aktiviti jual beli dan aktiviti perkhidmatan.
- Untuk pemohon yang tiada pendapatan tetap, dapatkan surat pengesahan pendapatan daripada individu yang dibenarkan (Pegawai Kerajaan Kategori A, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Penghulu atau wakil yang terpilih atau Pengurus cawangan bank.
- Untuk pemohon bergaji, sila bawakan penyata gaji dan penyata EPF.
3. Mohon di institusi-institusi kewangan yang terlibat
- Sila bawa semua dokumen yang dinyatakan dan mohonlah pembiayaan perumahan di mana-mana cawangan institusi-institusi kewangan yang terdekat yang menyertai skim jaminan ini.
Sumber: SJKP