Siakap Keli
Gambar via Google

(Video) Kenapa Tak Banyak Negara Yang Gunakan Warna Ungu Pada Bendera? Ini Sebabnya

Bentuk dan corak bendera negara-negara di dunia berbeza-beza. Ada bendera yang mempunyai warna merah, putih, biru, kuning dan sebagainya. Setiap warna pada bendera negara mempunyai makna dan kepentingan sendiri.

Tetapi, anda perasan tak, tiada warna ungu yang terdapat pada hampir semua bendera di dunia ini? Mengapa? Adakah warna ungu dianggap tidak menarik?

Warna ungu sangat mahal

Hal ini kerana, untuk menghasilkan warna ungu pada zaman dahulu memakan kos yang tinggi. Harganya juga adalah 3 kali ganda lebih mahal daripada harga emas. Sebab itulah, warna ungu sering dikaitkan dengan bangsawan.

Dalam video dari saluran After Skool, warna ungu pertama kali dicipta pada abad ke-19.

Pada abad ke 16, Ratu Elizabeth I telah melarang orang awam menggunakan warna ungu ini. Malah, peraturan itu juga diikuti oleh negara-negara lain sehinggakan ada yang menganggap bahawa warna ungu adalah khusus untuk para dewa mahupun Tuhan mereka.

Dihasilkan melalui siput

Pada waktu itu, warna ungu hanya boleh dihasilkan melalui sejenis siput yang berasal dari Laut Mediterranean, iaitu Bolinus Brandaris (Tyrian Purple) yang hanya boleh didapati di Tyre, Lebanon.

Untuk mengekstrak warna ungu, kena ada 10,000 siput untuk hasilkan 1 gram warna tersebut. Bayangkan kalau anda nak buat sehelai baju, berapa banyak siput anda perlu gunakan?

Ahli kimia William Henry Perkin

Pada tahun 1856, seorang ahli kimia, iaitu William Henry Perkin telah menghasilkan warna ungu secara tidak sengaja ketika beliau ingin menghasilkan ubat untuk penyakit malaria. Sejak itu, beliau mempatenkan kaedah itu dan membuka banyak kilang yang dikhususkan untuk menghasilkan warna ungu bagi orang ramai boleh menggunakannya.

Selepas itu, terdapat beberapa negara yang menggunakan warna ungu pada bendera mereka. Namun, kembali berubah ke warna lain selepas status atau simbolik bangsawan mula hilang kerana mudah didapati pada bendera negara lain.

Kini, hanya ada dua negara sahaja yang menggunakan warna ungu pada bendera mereka, iaitu Dominica dan Nicaragua.

Bendera Dominica

Gambar: Tribunnews

Menurut World Atlas, bendera Dominica semasa telah diterima pakai pada November 1978. Bendera mengalami perubahan kecil pada tahun 1981, 1998 dan 1990.

Bendera itu direka oleh Alwin Bully ketika negara Dominica sedang bersiap sedia untuk kemerdekaan mereka. Bendera Dominica terdiri daripada pangkalan hijau yang mewakili tumbuh-tumbuhan negara.

Warna hijau kemudiaannya dibahagikan kepada empat bahagian yang sama dengan tanda tambah yang mempunyai tiga lapisan jalur kuning, hitam dan putih. Tiga warna ini mewakili manusia, tanah dan air bersih.

Manakala tanda tambah atau salib adalah simbol agama dan Triniti. Di tengah-tengah salib adalah bulatan merah yang menunjukkan 10 bintang mengelilingi Burung Beo Sisserou. Burung nuri mempunyai bulu ungu di bahagian bawah dan juga pada mahkota.

Bendera Nicaragua

Gambar: Tribunnews

Bendera semasa Nicaragua telah diterima pakai pada tahun 1908 dan dirasmikan pada Ogos 1971. Reka bentuk bendera ini diilhamkan oleh bendera Republik Persekutuan Amerika Tengah. Bendera Nicaragua terdiri daripada jalur mendatar putih di antara dua jalur biru di bahagian atas dan bawah.

Dua garis biru mewakili Laut Caribbean dan Lautan Pasifik manakala warna putih adalah simbol keamanan. Selalunya warna biru ditafsirkan sebagai simbol kesetiaan dan keadilan.

Jalur putih dalam bendera mempunyai jata negara di tengah. Jata negara mempunyai pelangi dengan garis ungu sebagai salah satu warna pelangi. Pelangi ini adalah lambang kemerdekaan manakala terdapat simbol gunung berapi yang mewakili persaudaraan semua negara di Amerika Tengah.

Untuk lebih mudah faham, anda boleh tonton video di bawah ini.

@ceotanggo

Kenapa tiada warna ungu di semua bendera di dunia

♬ bunyi asal – CEO_tanggo – Ceo_tanggo

Sumber: Tribunnews & TikTok

Aireena Marizan