Siakap Keli
Pelakon Ukraine Pasha Lee

Pelakon Ukraine, Pasha Lee Muat Naik Status Sebelum Terbunuh, ”48 Jam Terakhir..”

Pelakon dan pengacara televisyen Ukraine, Pasha Lee sempat memuat naik hantaran terakhir sebelum terkorban dalam serangan di Irpen semasa berjuang mempertahankan negaranya.

Sabtu lalu, selebriti berkebangsaan Ukraine itu memuat naik sekeping gambar dirinya bersama seorang wanita di laman Instagram miliknya, di mana kedua-dua mereka mengenakan uniform celoreng seperti yang sering dipakai anggota tentera.

Dalam hantaran terakhir Pasha Lee, pelakon yang berusia 33 tahun itu bercakap tentang serangan bom yang dilancarkan ke atas negaranya dan sepertinya memberi kata-kata semangat untuk warga Ukraine.

“Untuk tempoh 48 jam terakhir ini, ada peluang untuk duduk dan mengambil gambar bagaimana kami dibom. Kami tersenyum kerana kami akan menanganinya,” tulis mendiang Lee pada ruangan caption, diikuti emotikon bendera Ukraine.

Memetik laporan Mirror, Lee dikatakan menyertai Pasukan Pertahanan Wilayah Angkatan Tentera Ukraine sekitar minggu lalu dalam pergelutan antara Rusia dengan Ukraine.

“Dia yang paling riang dan ceria”

Kematian Lee turut menerima ucapan takziah dari Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan Ukraine (NSJU), Sergiy Tomilenko melalui laman Facebook miliknya.

Menurut Tomilenko, kematian Lee disahkan oleh Pengerusi UATV/DOM, Julia Ostrovska yang mengesahkan kematian selebriti yang membintangi program di saluran televisyen mereka.

“Antara enam penyampai televisyen kami, dia (Lee) yang paling riang dan ceria,” kata Ostrovska kepada NSJU.

Selain aktif sebagai selebriti televisyen tempatan, Lee turut melebarkan sayapnya dalam industri muzik sebagai penyanyi dan komposer. Bukan itu sahaja, selebriti kelahiran Crimea pada tahun 1988 ini juga cukup terkenal dalam industri filem dan teater.

Menurut laman Facebook rasmi Odesa International Film Festival, antara filem lakonannya termasuk “Shtolnya” (2006), “Shadows of Unforgotten Ancestors” (2013), “Zvychayna Sprava” (2012), “The Fight Rules” (2016), dan “‎Meeting of Classmates” (2019), sementara teater yang dibintangi Lee adalah “Koleso“.

Artis serba boleh ini pernah menjadi pengisi suara untuk beberapa filem terkenal seperti The Lion King, Malibu Rescuers dan The Hobbit untuk versi bahasa Ukraine.

Pasha Lee merupkan salah seorang mangsa yang meninggal dunia dalam insiden pengeboman di Irpen pada 6 Mac lalu.

Sumber: Mirror

Eyla Azri

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.