Lelaki Maut Dipercayai Dipukul Di Tanah Merah
TANAH MERAH, 20 Jun (Bernama) — Seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun disahkan meninggal dunia dipercayai dipukul di Kampung Buloh Ipoh, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Supt Mohd Haki Hasbullah mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan butiran kejadian akan menyusul.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat,” katanya kepada Bernama hari ini.
Sementara itu, seorang penduduk kampung yang hanya mahu dikenali sebagai Solah, 40, berkata, kejadian berlaku berikutan pergaduhan antara mangsa dan suspek.
“Sebelum kejadian, saya sempat berbual dengan mangsa kerana rumahnya betul-betul di hadapan rumah saya, dia kelihatan biasa dan sempat menegur beberapa orang kampung.
BACA JUGA: Seorang Lelaki Ditemukan Mati Akibat Ditembak
“Saya hanya menyedari kejadian itu apabila melihat kehadiran ramai anggota polis dan penduduk di tempat kejadian iaitu kira-kira 100 meter dari rumahnya,” katanya kepada Bernama di tempat kejadian.
Menurutnya, dia bergegas ke lokasi dan terkejut melihat mangsa meninggal dunia dengan kecederaan di muka.
Solah juga berkata, mangsa tinggal bersama ibunya yang berusia 78 tahun dan tidak pernah menimbulkan masalah dengan penduduk kampung.
“Saya difahamkan kejadian itu berpunca daripada teguran mangsa berhubung bunyi bising motosikal suspek. Mereka dikatakan bergaduh sebelum mangsa dipercayai dipukul dengan kayu,” katanya.
Sumber: Bernama