Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Lelaki Orang Asli Maut Dipercayai Diserang Harimau Di Sungai Siput

MAUT
Kredit: Bernama

IPOH, 19 Nov (Bernama) -- Seorang lelaki Orang Asli maut dipercayai akibat serangan harimau ketika mencari buluh di kawasan hutan Lata Serai, Kampung Bawong dekat Sungai Siput, semalam.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata mangsa Ngah Itam, 65, yang merupakan bapa tunggal kepada lima anak dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mohd Zolkafly yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang berkata beliau menerima berita mengenai kejadian itu daripada Ketua Balai Polis Lintang selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Mexclub kali ke-62 di Desaru, Johor semalam.

“Ini merupakan kejadian kedua yang mengorbankan nyawa penduduk akibat serangan harimau di kawasan Sungai Siput dalam tempoh hampir dua bulan.

“Pada 21 Sept lepas, seorang penduduk Kampung Takong, Pos Perwor, turut meninggal dunia selepas dipercayai diserang harimau ketika mencari rotan di hutan,” katanya.

Justeru, Mohd Zolkafly berharap pemantauan dan langkah keselamatan di kawasan berisiko dipertingkatkan segera selain turut meminta penduduk Kampung Bawong dan kawasan berhampiran sentiasa berwaspada, menjauhi kawasan kejadian dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

Beliau turut merakamkan takziah dan berharap anak-anak serta ahli keluarga mangsa diberikan ketabahan dalam menghadapi ujian tersebut.

-- BERNAMA

Intipati
  • Ngah Itam, 65, maut dipercayai diserang harimau ketika mencari buluh di Lata Serai.
  • Mohd Zolkafly berkata mangsa ialah bapa tunggal kepada lima anak dan meninggal di lokasi.
  • Beliau meminta pemantauan keselamatan dipertingkatkan serta penduduk berhampiran sentiasa berwaspada.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan