Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) dan Pejabat Pengarah Perisikan Negara (ODNI) dipercayai menjadi sasaran serangan siber yang melibatkan maklumat tidak sulit, menurut empat sumber yang mengetahui perkara itu kepada CNN.
Salah seorang sumber berkata, pencerobohan itu melibatkan sistem yang digunakan kedua-dua agensi untuk menganalisis maklumat risikan daripada sumber terbuka.
Bagaimanapun, tahap sebenar pencerobohan itu masih belum diketahui, namun pegawai menegaskan bahawa tiada maklumat sulit kerajaan yang terjejas dalam kejadian berkenaan.
“Tiada gangguan terhadap keupayaan operasi penting atau sistem yang menyimpan maklumat sulit,” kata seorang pegawai ODNI kepada CNN.
Bagaimanapun, CIA enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.
Setakat ini, masih belum jelas bila serangan itu berlaku, siapa yang bertanggungjawab atau sama ada masalah berkenaan sudah berjaya diselesaikan.
CIA Diserang Penggodam

ODNI yang menyelia 17 agensi perisikan Amerika Syarikat termasuk CIA, sejak beberapa tahun kebelakangan ini meningkatkan pelaburan dalam bidang risikan sumber terbuka yang kebanyakannya melibatkan maklumat tidak sulit.
Pencerobohan yang dilaporkan itu, seperti didedahkan akhbar New York Times sebelum ini, merupakan insiden terbaharu dalam beberapa siri serangan siber dan gangguan teknologi yang menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan sistem kerajaan serta sektor swasta Amerika Syarikat.
Menurut dua sumber, kejadian itu dipercayai tidak mempunyai kaitan dengan serangan siber terhadap pangkalan data maklumat jenayah FBI di seluruh negara.
Beberapa insiden berkenaan berlaku ketika Amerika Syarikat turut berdepan gangguan teknologi lain yang tidak berkaitan, termasuk masalah sistem di bank, Agensi Keselamatan Negara (NSA) dan sistem kawalan trafik udara Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA).
Rentetan kejadian itu turut menjejaskan keyakinan rakyat terhadap teknologi yang menjadi sebahagian penting dalam kehidupan seharian mereka.
Pada awal bulan ini, semua penerbangan di seluruh Amerika Syarikat terpaksa dihentikan selama beberapa jam selepas berlaku kegagalan sistem berskala besar.
Kejadian itu menyebabkan ribuan penerbangan mengalami kelewatan atau dibatalkan, manakala FAA mengenal pasti sebuah penghala internet di Arkansas sebagai punca masalah berkenaan.
Dalam kejadian berasingan, gangguan pada perkhidmatan Microsoft menyebabkan pengguna di seluruh dunia tidak dapat mengakses beberapa aplikasi penting untuk urusan kerja seperti e-mel Outlook dan mesyuarat melalui Teams.
Namun, gangguan di NSA serta pencerobohan sistem FBI dan CIA menjadi perhatian utama pegawai keselamatan negara kerana ketiga-tiga agensi itu memainkan peranan penting dalam menjaga keselamatan Amerika Syarikat.
Minggu lalu, rangkaian komunikasi dalaman NSA yang mempunyai tahap keselamatan sangat tinggi dilaporkan tidak dapat berfungsi selama beberapa hari.
Ketua perisikan negara, Jay Clayton, berkata gangguan berkenaan berpunca daripada kemas kini perisian yang bermasalah dan bukannya serangan siber.
Sebuah kemudahan penting NSA di Georgia yang menyokong operasi risikan isyarat dan keselamatan siber, khususnya berkaitan rantau Timur Tengah, turut terjejas ketika Amerika Syarikat sedang berperang dengan Iran.
Bagaimanapun, sistem utama NSA yang digunakan untuk mengumpul maklumat risikan paling sensitif tidak terjejas, manakala gangguan tersebut berjaya diselesaikan menjelang Jumaat lalu.
Kerentanan perisian yang cuba ditangani NSA itu juga hanyalah sebahagian kecil daripada banyak kelemahan baharu yang berjaya dikesan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Pakar keselamatan siber berkata, agensi kerajaan dan syarikat swasta kini menemui semakin banyak pepijat atau kecacatan dalam sistem perisian masing-masing hasil bantuan AI.
Keadaan itu menyebabkan mereka berlumba-lumba membaiki kelemahan berkenaan, namun proses tersebut kadangkala turut mencetuskan kesilapan baharu.

