Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Penggodam GTA VI Dibebaskan

penggodam gta dibebaskan
Kredit: Anadolu Ajansı

ISTANBUL, 24 Nov (Bernama-Anadolu) -- Seorang penggodam Britain yang bertanggungjawab membocorkan rakaman permainan video Grand Theft Auto VI (GTA VI) dibebaskan daripada tahanan pada Isnin meskipun dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun atas beberapa serangan siber yang menyasarkan syarikat utama, lapor Anadolu Ajansi.

Iklan

Arion Kurtaj, 21, anggota kumpulan penggodam Lapsus$, mengaku bersalah terhadap enam pertuduhan di Mahkamah Crown Woolwich pada 16 Nov, menurut Polis City of London.

Dia dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun pada 23 Nov selepas mahkamah mengurangkan hukuman asal sembilan tahun sebanyak dua tahun dengan mengambil kira tempoh dia menjalani rawatan di hospital atas perintah mahkamah.

Kurtaj kemudiannya dibebaskan secara bersyarat selepas tempoh tahanan terdahulunya turut diambil kira. Pada September 2022, Kurtaj menggodam sistem Rockstar Games dan mencuri 90 rakaman permainan GTA VI yang ketika itu belum dilancarkan, sebelum membocorkannya dalam talian.

Rockstar Games memaklumkan kepada sebuah mahkamah Britain pada 2023 bahawa syarikat itu menanggung kos kira-kira US$5 juta untuk memulihkan sistem susulan serangan siber berkenaan, selain melibatkan ribuan jam kerja kakitangannya.

Serangan siber Kurtaj turut menyasarkan beberapa syarikat utama termasuk penyedia perkhidmatan telekomunikasi BT dan EE, syarikat teknologi kewangan Revolut serta platform pengangkutan Uber.

Dia mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan penipuan, empat kesalahan mengikut Akta Penyalahgunaan Komputer 1990 dan satu kesalahan berkaitan pemilikan telefon bimbit di dalam penjara.

Kurtaj, yang mengalami autisme dikenakan perintah penempatan di hospital tanpa had tempoh pada Disember 2023 selepas didapati tidak berkeupayaan untuk dibicarakan.

Perintah itu ditarik balik pada Januari 2026, sekali gus membolehkan prosiding jenayah terhadapnya diteruskan. “Kurtaj sedar akan tindakannya ketika melakukan jenayah ini dan akhirnya mengakui penglibatannya,” kata Inspektor Detektif Polis City of London Mike O'Sullivan.

Intipati
  • Arion Kurtaj dibebaskan bersyarat selepas dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun pada 23 Nov.
  • Dia mengaku bersalah terhadap enam pertuduhan, termasuk kesalahan mengikut Akta Penyalahgunaan Komputer 1990.
  • Kurtaj membocorkan 90 rakaman GTA VI selepas menggodam sistem Rockstar Games pada September 2022.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan