Pengorbanan seorang bapa yang bekerja keras demi memberikan kehidupan lebih baik buat keluarga akhirnya membuahkan hasil apabila anaknya berjaya menggenggam segulung ijazah dari Universiti Malaya (UM).
Setiap kejayaan pastinya mempunyai cerita tersendiri. Di sebalik segulung ijazah yang diterima, mungkin ada pengorbanan, air mata dan usaha keras insan tersayang yang tidak pernah diketahui orang lain.
Graduan Pertama Dalam Keluarga, Impian Akhirnya Tercapai

Menerusi perkongsian yang dimuat naik di Threads, seorang graduan yang juga merupakan graduan pertama dalam keluarganya berjaya memperoleh ijazah pastinya memberikan kebanggaan tersendiri.
Pencapaian itu bukan sahaja membuktikan kesungguhan dirinya dalam menuntut ilmu, malah menjadi bukti bahawa pengorbanan seorang bapa mampu membuka jalan kepada masa depan anak yang lebih cerah.
“Saya merupakan seorang anak mekanik dan sekarang telah berjaya menjadi graduan ijazah sarjana muda di Universiti Malaya”, luahnya dalam perkongsian tersebut.
Anak Mekanik Bergelar Graduan UM, Jasa Ayah Jadi Sebahagian Daripada Kejayaan
Kejayaan graduan tersebut menyarungkan jubah konvokesyen bukan sekadar pencapaian akademik, sebaliknya turut membawa makna lebih besar buat keluarganya.
Dia mengakui bahawa bapanya telah banyak berkorban dan bekerja keras untuk memberikan kehidupan lebih baik kepadanya.
“Segala penat lelah dan pengorbanan ayah saya merupakan sebahagian dari kejayaan saya,” kongsinya.
Tambahnya, ayahnya telah bekerja keras untuk masa hadapan yang lebih cerah dan hari ini dia dapat menyarung jubah itu dengan bangganya.
Walaupun bapanya bekerja sebagai seorang mekanik, segala usaha yang dicurahkan demi masa depan anak menjadi inspirasi untuk dirinya terus melangkah dan tidak mudah berputus asa.
Malah, dia menyifatkan kejayaan memperoleh ijazah tersebut bukan miliknya seorang, tetapi turut menjadi kemenangan buat bapanya.
“Ijazah ini bukan sahaja kejayaan saya seorang, tetapi juga milik ayah saya” menurutnya lagi dalam perkongsian itu.
Mengakhiri perkongsiannya itu, graduan berkenaan turut menyampaikan penghargaan buat bapanya dengan menyifatkan perjalanan daripada kesusahan yang dilalui sehingga kejayaan hari ini sebagai satu perjuangan yang mereka tempuhi bersama.
Daripada titik peluh seorang ayah kepada kejayaan seorang anak, kisah ini menjadi peringatan bahawa di sebalik kejayaan seseorang, sering ada insan yang berkorban dalam diam.

