Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Lebih Empat Dekad Bergelar Anak Seni, Zulkifli Ismail Buktikan Usia Bukan Penghalang Raih CGPA 4.00

seni
Kredit: Facebook Zulkifli Ismail

Kesibukan di lokasi penggambaran bukan alasan untuk mengetepikan pelajaran. Perkara itu dibuktikan pelakon veteran, Zulkifli Ismail apabila berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.00 bagi pengajian Sarjana Pengajian Persembahan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Lebih membanggakan, kejayaan tersebut diraih meskipun beliau perlu membahagikan masa antara komitmen kerjaya seni dan pengajian, selain berdepan sedikit gangguan kesihatan.

Kredit: Facebook Zulkifli Ismail

Menerusi satu hantaran di Facebook miliknya baru-baru ini, Zulkifli meluahkan rasa syukur kerana berjaya menamatkan pengajian berkenaan.

“Alhamdulillah. Selesai dengan selesa. Dalam kesibukan menjalani penggambaran dan sedikit gangguan kesihatan, saya berjaya menamatkan pengajian Sarjana Pengajian Persembahan di UPSI.

“Insya-ALLAH konvo (konvokesyen) pada penghujung November,” katanya.

Pencapaian itu nyata membanggakan memandangkan Zulkifli sudah lebih empat dekad berkecimpung dalam industri seni tanah air.

Perkongsian tersebut turut menarik perhatian peminat yang rata-ratanya memberikan ucapan tahniah serta menganggap kejayaan berkenaan sebagai inspirasi kepada mereka yang masih mempunyai impian untuk menyambung pengajian.

Ramai melihat kesungguhan Zulkifli sebagai bukti bahawa tuntutan kerjaya dan faktor usia bukan penghalang untuk seseorang terus menimba ilmu serta meningkatkan pencapaian diri.

Untuk rekod, Zulkifli sebelum ini pernah berkongsi hasrat menyambung pengajian dalam bidang Sarjana Pengajian Persembahan di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, UPSI pada April 2025.

Intipati
  • Zulkifli Ismail memperoleh CGPA 4.00 bagi Sarjana Pengajian Persembahan di UPSI.
  • Beliau menamatkan pengajian meskipun sibuk dengan penggambaran dan sedikit gangguan kesihatan.
  • Zulkifli berkata konvokesyennya dijangka berlangsung pada penghujung November ini.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan