Setiap ibu bapa pastinya mempunyai impian tersendiri, termasuklah keinginan untuk memiliki sesuatu barang yang mungkin sudah lama diidamkan sejak sekian lama.
Bagi seorang anak, tiada perkara lebih menggembirakan selain berpeluang menunaikan hasrat ibu bapa, apatah lagi apabila hadiah diberikan itu membawa makna tersendiri buat mereka.
Menerusi satu hantaran di Threads, seorang pengguna dikenali sebagai @idgaf___rit berkongsi momen menyentuh hati apabila dia bersama adik-beradiknya menghadiahkan sesuatu yang sudah lama diinginkan bapa mereka.
Menurutnya, bapa mereka sudah lama menginginkan Helmet Merdeka 69 sejak produk berkenaan mula dilancarkan kerana nombor 69 itu mengingatkannya kepada tahun kelahirannya, iaitu 1969.

Menyedari keinginan tersebut, @idgaf___rit bersama adik-beradiknya mengambil inisiatif mencari penjual semula yang masih menawarkan helmet berkenaan untuk dijadikan hadiah sempena ulang tahun kelahiran bapa mereka.
“Merata ayah cari Helmet Merdeka 69 ni masa baru launch sebab tahun lahir dia, dan kitorang adik beradik decide untuk cari reseller yang jual Helmet Merdeka 69 sebagai hadiah hari jadi dia.
“Happy birthday hero saya,” tulisnya menerusi kapsyen hantaran tersebut.
Lebih menyentuh hati, dia turut berkongsi rakaman video yang memaparkan reaksi bapanya ketika menerima hadiah istimewa daripada anak-anaknya itu.
Bapa Menangis Terharu Terima Hadiah Helmet Merdeka 69
Sebaik sahaja membuka bungkusan, wajah bapanya jelas menunjukkan kegembiraan sebelum dia dilihat mencium helmet berkenaan seolah-olah tidak menyangka hasratnya akhirnya menjadi kenyataan.
Tidak lama kemudian, lelaki itu memeluk anaknya sebelum menitiskan air mata kerana terlalu gembira menerima hadiah yang sudah lama diimpikannya.
Lebih mengharukan, dia kemudian dilihat mencuba helmet tersebut sambil mengesat air mata, memperlihatkan betapa bermaknanya pemberian daripada anak-anaknya itu.
Dalam pada itu, menerusi ruangan komen, @idgaf___rit mengakui dia dan adik-beradiknya sendiri tidak menyangka bapa mereka akan menangis selepas menerima hadiah tersebut.
“Selalunya tak menjadi, tapi kali ni dia tak expect pun kitorang akan pulun cari helmet yang dia nak. Kami pun tak expect ayah akan nangis,” ujarnya.

Menjengah ke ruangan komen, perkongsian tersebut turut mengundang pelbagai reaksi warga maya yang rata-ratanya tersentuh melihat reaksi spontan bapa berkenaan.
Malah, ada juga yang mengambil kesempatan mengucapkan selamat ulang tahun kepada lelaki itu selain memuji usaha adik-beradik tersebut merealisasikan impian bapa mereka.

