“Semoga Bapa Panjang Umur” Datuk Timang Cucu Pertama Pada Usia 80 Tahun Undang Sebak Ramai
Orang tua mana yang tidak gembira apabila dapat menimang cucu sendiri, apatah lagi jika kehadiran si kecil itu sudah lama dinantikan.
Tidak kira berapa pun usia mereka, kelahiran seorang cucu pastinya membawa kebahagiaan yang sukar digambarkan, lebih-lebih lagi apabila penantian itu berakhir selepas bertahun-tahun.
Begitulah kisah seorang wanita di TikTok yang berkongsi kegembiraan ibu bapanya apabila mereka akhirnya dapat menimang cucu pertama pada usia 80 tahun.
Bapa Timang Cucu Pertama Pada Usia 80 Tahun

Menerusi beberapa hantaran di akaun TikTok @baby_gendhis7, wanita itu memuat naik video bapanya sedang meluangkan masa bermain dengan anaknya yang diberi nama Gendhis.
“Masya-Allah, Tabarakallah, cucu yang paling ditunggu-tunggu. Semoga bapa panjang umur supaya dapat menimang cucu daripada anak-anak yang lain,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Dalam hantaran berasingan, wanita itu turut memaparkan video nenek Gendhis sedang mendukung bayi berkenaan sambil berbual dengannya.
“Cucu yang paling ditunggu. Anak, kehadiran kamu diraikan oleh nenek dan datuk kamu.
“Datuk kamu dah berusia 80 tahun apabila kamu lahir ke dunia. Semoga nenek dan datuk kamu panjang umur supaya dapat melihat kamu membesar,” tulisnya lagi.

Dalam pada itu, wanita berkenaan menjelaskan bahawa dia hanya dapat memberikan cucu kepada ibu bapanya dikala mereka menginjak usia senja kerana terpaksa merantau ke Malaysia untuk mencari rezeki demi menyara keluarga.
Menurutnya, usia perkahwinan ibu bapanya yang juga agak lewat menjadi antara sebab dia lambat menimang cahaya mata.
“Saya merantau ke Malaysia untuk menjadi tulang belakang keluarga saya. Kebetulan, bapa dan mak saya berkahwin pun pada usia yang lewat,” jelasnya.
Perkongsian itu menyentuh hati ramai pengguna media sosial yang turut menitipkan doa agar bapa wanita berkenaan dikurniakan kesihatan yang baik dan dipanjangkan umur supaya dapat melihat cucunya membesar.

