Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencuri perhatian apabila menitipkan doa buat seorang kanak-kanak dikenali sebagai Muhammad Ammar Izdiyad yang bakal menjalani pembedahan berkaitan tonsilitis.
Momen menyentuh hati itu tercetus selepas ibu kanak-kanak berkenaan, Siti Hawa Jamaluddin berkongsi sebuah video di Threads yang memaparkan anaknya ingin mendapatkan doa daripada Perdana Menteri.
Menurut Siti Hawa, anaknya bersungguh-sungguh meminta supaya dia merakamkan video berkenaan untuk disampaikan kepada Anwar.
“Ada orang tu nak minta tolong PMX doakan dia sebab dia nak kena jalani pembedahan tonsillitis.
“Bersungguh-sungguh suruh rakamkan video dia nak bagitahu dekat PMX, bercakap pun tak cukup nafas tu.
“Mohon doa dari acik uncle semua jugak untuk Muhammad Ammar Izdiyad ya,” katanya.
Dalam perkongsian sama, Siti Hawa turut memaklumkan bahawa doktor menjelaskan pembedahan berkenaan agak berisiko buat anaknya.
“Semoga Allah mudahkan semuanya dan diberi kesembuhan untuk Ammar,” ujarnya.
PMX tunaikan permintaan, gelar diri sebagai 'atuk'
Sementara itu, permintaan kanak-kanak berkenaan akhirnya mendapat perhatian Anwar yang tampil memberikan respons menerusi sebuah video.
Lebih menyentuh hati, Perdana Menteri turut menggelarkan dirinya sebagai 'atuk' ketika menyampaikan doa dan kata-kata semangat buat Ammar.
“Assalamualaikum Ammar, atuk doakan InshaAllah berjaya dalam pemeriksaan dan pembedahan. Syafakallah, kita doa pada Allah mudah-mudahan sihat. Okay, Ammar?
“Doa dan sihat sebaiknya,” katanya.
Respons tersebut sekali gus mencuri tumpuan netizen, yang terharu dengan doa diucapkan Anwar.
Semoga segala urusan pembedahan Ammar dipermudahkan dan dikurniakan kesembuhan serta kesihatan yang baik.
