Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Hutang & Liabiliti Terkumpul Kerajaan Persekutuan RM1,763.3 Bilion - MOF

hutang liabiliti kerajaan
Kredit: Bernama

Jumlah hutang dan liabiliti yang terkumpul Kerajaan Persekutuan mencecah RM1,763.3 bilion sehingga akhir Jun 2026, bersamaan 80.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menurut Kementerian Kewangan (MOF), pendedahan liabiliti kerajaan turut merangkumi komitmen jaminan berjumlah RM248.3 bilion, meningkat sedikit berbanding RM245.8 bilion pada 2025.

Peningkatan marginal itu disebabkan pembiayaan projek infrastruktur.

“Bagaimanapun, liabiliti lain yang terdiri daripada obligasi kewangan di bawah kerjasama awam swasta dan Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) menunjukkan penurunan kepada RM136.2 bilion berbanding RM143.7 bilion pada 2025,” kata kementerian itu menerusi jawapan bertulis kepada soalan Azli Yusof (Shah Alam) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Azli meminta MOF menyatakan jumlah terkini hutang negara dan keseluruhan liabiliti kerajaan, selain keberkesanan pelaksanaan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850) dalam mengurangkan defisit fiskal serta unjuran bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Hutang Dan Liabiliti Kerajaan Persekutuan Cecah RM1.76 Trilion Setakat Jun 2026, Defisit Fiskal Menurun Daripada 5.5 Peratus Kepada 3.7 Peratus

Dalam pada itu, MOF turut memaklumkan kerajaan kekal komited melaksanakan pembaharuan fiskal bagi menyediakan ruang fiskal yang mampan serta memastikan pengurusan hutang dilaksanakan secara berhemah berlandaskan Kerangka Ekonomi MADANI.

Menerusi Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 atau FRA, kerajaan menetapkan komitmen untuk memperkukuh disiplin fiskal, termasuk mengurangkan defisit fiskal kepada bawah tiga peratus daripada KDNK dalam jangka sederhana.

Kerajaan turut menyasarkan paras hutang tidak melebihi 60 peratus daripada KDNK dalam tempoh sama.

MOF berkata sejak akta berkenaan dikuatkuasakan, usaha konsolidasi fiskal dilaksanakan secara berperingkat sehingga berjaya mengurangkan defisit fiskal daripada 5.5 peratus daripada KDNK pada 2022 kepada 3.7 peratus pada 2025.

Pencapaian itu juga lebih baik berbanding sasaran asal sebanyak 3.8 peratus.

Bagi 2026, defisit fiskal diunjurkan pada 3.6 peratus berbanding sasaran asal 3.5 peratus, mengambil kira kesan krisis di Asia Barat serta keperluan untuk terus menyokong pertumbuhan ekonomi dan melindungi kesejahteraan rakyat.

Defisit berkenaan seterusnya dijangka berkurang kepada 3.3 peratus pada 2027, selaras dengan usaha mencapai sasaran FRA iaitu di bawah tiga peratus dalam jangka sederhana.

Nisbah Hutang Disasar Turun Kepada 60 Peratus Menjelang 2030

Bagi memastikan kemampanan fiskal jangka panjang, kerajaan akan terus mempergiat usaha konsolidasi melalui pengukuhan kutipan dan pematuhan cukai, peluasan asas hasil, pengurangan ketirisan serta pengoptimuman perbelanjaan awam.

Dari segi hutang pula, nisbah hutang Kerajaan Persekutuan kepada KDNK diunjurkan menurun daripada 65.2 peratus pada 2025 kepada 64 peratus pada 2026 dan 63.7 peratus pada 2027.

Selaras dengan sasaran di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), kerajaan menyasarkan untuk mengurangkan nisbah hutang kepada KDNK kepada 60 peratus menjelang 2030.

MOF menjelaskan bahawa pencapaian sasaran itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan mengambil kira keperluan pembiayaan projek pembangunan jangka panjang dan strategik negara.

Langkah berkenaan penting bagi memastikan kerajaan terus berupaya memenuhi komitmen pembangunan, di samping mengekalkan kemampanan hutang negara untuk jangka masa panjang.

Intipati
  • Hutang dan liabiliti Kerajaan Persekutuan mencecah RM1.76 trilion setakat akhir Jun 2026.
  • Komitmen jaminan kerajaan meningkat kepada RM248.3 bilion, dipacu pembiayaan projek infrastruktur.
  • Defisit fiskal dijangka berkurang kepada 3.3 peratus pada 2027, menurut MOF.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan