Siakap Keli
pedicure kuku ayam
Kredit: Oddity Central

Gambar Kuku Ayam Buat ‘Pedicure’ Jadi Tular

Seekor ayam jantan di Shanghai, China telah menjadi perhatian ramai warganet setelah pemiliknya bertindak melakukan pedicure pada kuku haiwan itu dan menyiarkan gambarnya di internet.

Pemilik ayam yang dikenali sebagai Yi Yi itu membawa ayam jantan tersebut pergi ke salon kuku kerana merasakan bahawa kuku haiwan peliharaannya memerlukan sedikit sentuhan pedicure.

Namun malangnya, pekerja-pekerja di salon kuku tersebut menolak keinginan Yi Yi untuk membuat rias kuku terhadap ayam jantannya kerana bimbang ia akan menjejaskan imej salon berkenaan.

Dia kemudiannya bertindak membuat sendiri rias kuku terhadap ayam jantan miliknya dengan mengambil masa selama lebih satu jam untuk mendapatkan ‘hasil’ yang memukau.

Kredit: Oddity Central

Selain daripada menggunakan pengilat kuku pelbagai warna, Yi Yi juga menambah beberapa hiasan lain yang menarik seperti labuci dan manik.

Perkara yang dilakukan itu dianggap sebagai penghargaan dan hadiah oleh Yiyi kepada ayam jantan tersebut kerana telah menemaninya sepanjang tempoh dua tahun yang sukar dalam hidup.

Kredit: Oddity Central

Setelah gambar kuku ayam jantan yang kelihatan cantik dan mewah itu tular di seluruh media sosial China, berlaku perdebatan yang hangat berkenaan isu keselesaan ayam jantan tersebut.

Oleh itu, pemilik ayam tersebut menjelaskan bahawa perwarna kuku yang digunakan tidak menjejaskan pergerakan ayam itu.

Malah, semua cara atau proses untuk merias kuku dibuat dengan cermat dan baik demi keselesaan dan semestinya tidak mengganggu ayam tersebut.

Apa pula pendapat anda? Mana tahu ada kuku ayam yang nak diwarnakan selepas ini?

Kejadian ‘pelik’ mengenai ayam juga pernah berlaku pada November 2020, apabila satu video memaparkan selera seekor ayam betina yang agak aneh.

Menurut South China Morning Post, ayam betina ini mempunyai selera yang lain daripada ayam biasa.

Manakan tidak, secara kebiasaannya ayam-ayam yang biasa pastinya memilih untuk memakan dedak, cacing dan sebagainya, ayam ini pula berselera untuk memakan skru besi.

Ayam tersebut dilaporkan tinggal di dalam sebuah kedai membaiki peralatan elektrik di China. Ayam ini dilaporkan mempunyai berat lebih 1kg daripada ayam-ayam biasa yang sama umur dengannya.

Menurut pemilik ayam tersebut, tidak ada sebarang skru yang dikesan pada najis yang dikeluarkan oleh ayamnya itu.

Pakar mendakwa bahawa asid yang terkandung di dalam badan ayam tersebut telah mencernakan skru berkenaan.

Video tersebut telah menjadi tular di internet.

Sumber: Oddity Central

Akhmar Ikmal