Siakap Keli
Australia Banjir
Gambar via Daily Mail

Australia Banjir, Detik Air Naik Hingga Tenggelam Jambatan Dirakam

Ketika Australia banjir besar baru-baru ini, kamera pemantau banjir berjaya merakam keadaan sungai Queensland daripada paras normal sehinggalah naik mendadak.

Memetik kenyataan Daily Mail , kamera yang diletakkan di Jambatan Glenore, Glenore Grove, Helidon, Junction View dan Woodlands Road di Lembah Lockyer, Tenggara Queensland telah merakam kejadian Australia banjir dengan keadaan air yang naik hingga menenggelamkan jalan raya sepenuhnya.

“Kamera yang berada di Jambatan Glenore telah menunjukkan anak sungai mula naik pada Jumaat, 25 Februari sebelum turun (surut) semula pada hari Rabu 2 Mac, manakala Glenore Grove telah dikeringkan pada Selasa, 1 Mac.

“Banjir di Helidon berlaku pada Khamis 24 Februari sehingga Selasa, 1 Mac dan Juction View pula telah ditenggelami air pada Khamis 24 Februari sehingga Isnin 28 Februari,” lapor Daily Mail.

Menurut Daily Mail lagi, angka kematian banjir di Queensland telah meningkat seramai 13 orang pada Isnin setelah pihak penyelamat berjaya menemui mayat Troy Hearnden, seorang lelaki yang hilang selama lapan hari sejak 27 Februari selepas pihak keluarga dan rakan gagal menghubunginya.

Pada hari Rabu lalu, Perdana Menteri Scott Morrison telah mengadakan lawatan di bandar Lismore yang dilanda banjir dalam satu lawatan awam pertamanya sejak beliau dijangkiti Covid.

Menerusi Daily Mail juga, Scott Morrison telah mengisytiharkan banjir di New South Wales (NSW) dan Tenggara Queensland sebagai “Deklarasi Kecemasan Kebangsaan” atau National Emergency Declaration, namun Timbalan Perdana Menteri Queenslans, Steven Miles berkata tindakan tersebut adalah satu aksi politik dan tidak membantu bandar itu selama 10 hari selepas banjir.

Tambahnya, bencana tersebut berlaku 10 hari lalu dan mereka sedang berada di peringkat pemulihan.

Dalam satu sidang akhbar yang dibuat pada Rabu lalu, Morrison menjelaskan punca pengisytiharan itu ditangguhkan.

“Kami telah beralih daripada kejadian banjir besar kepada bencana alam dan itulah yang berlaku sejak beberapa hari lalu,

“Pada peringkat ini, keadaan kecemasan belum diisytiharkan dalam peringkat negeri sama ada di New South Wales atau sepanjang pengetahuan saya di Queensland.

“Oleh itu, Komanwel akan menjadi yang pertama untuk meneruskannya dan semua ini berkesan menghapuskan beberapa kerenah apabila melibatkan bagaimana agensi Komanwel dapat melaksanakan tugas mereka berhubung dengan bencana ini,” ulasnya, laporan dari Daily Mail.

Penduduk di Richmond Valley, Lismore dan Clarence Valley layak mendapat bayaran kedua sebanyak 1,000 dolar bagi dewasa dan 400 dolar bagi kanak-kanak, manakala orang awam di Ballina, Byron Bay dan Tweed Shire hanya akan menerima satu bayaran.

Kamera banjir yang serupa seperti yang berada di Queensland menangkap air banjir dengan cepat membanjiri jalan Bexley, Sydney sebelum surut.

Menurut Daily Mail, Sydney telah menjadi ‘tuan rumah’ kepada banjir kilat di beberapa wilayah sejak akhir minggu lalu.

Sumber: Daily Mail

Faiz Mustafa