Siakap Keli
Gambar hiasan via Google

Didakwa Sukar Dibaca, Logo Baharu ‘Halal Indonesia’ Cetus Pelbagai Komentar Warganet

Kementerian Agama Indonesia melalui Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) menetapkan logo Halal Indonesia baharu yang terpakai di peringkat nasional baru-baru ini, lapor Liputan 6.

Logo Halal Indonesia baharu ini tidak lagi berwarna hijau dengan tulisan halal di tengah seperti logo terdahulu yang tertera nama Majlis Ulama Indonesia (MUI).

Sebaliknya BPJPH telah mengubah sepenuhnya logo halal tersebut kepada tulisan Jawi bertulis ‘Halal’  yang dipercayai menggunakan seni khat yang unik.

Jika logo terdahulu ‘terukir’ dengan tulisan serta rekaan (design) yang mungkin dianggap lama, kali ini ia tampil dengan wajah yang lebih ‘segar’ dan moden lagi kontemporari.

Bagaimanapun, perubahan logo halal baharu itu mengundang pelbagai komentar berbeza daripada warganet Indonesia.

Jika menerjah ke laman Twitter, isu ‘Halal’ menjadi salah satu topik yang agak trending di garis masa Twitter  di Indonesia.

Setakat laporan yang ditulis Liputan6 hari ini, kira-kira 50,000 tweet berkaitan logo Halal Indonesia naik ke bahagian trending.

BACA JUGA: Tiada Lagi Yang Lama, Logo ‘Halal Indonesia’ Versi Baharu Dilancarkan

Pendapat berbeza warganet

Menurut seorang warganet bernama Ahmad Jilul Q. Farid, sesuatu logo yang direka sepatutnya mestilah mudah dibaca dan digunakan untuk berbagai-bagai tujuan.

“Kalau ditanya yang mana satu logo yang bagus? Saya bukan ahli pereka grafik. Tapi setakat pengetahuan saya, logo halal baik huruf Arab atau Latin haruslah mudah dibaca.

“Selain itu, logo harus mudah diaplikasikan ke dalam pelbagai warna dan kemasan. Kalau ungu dan tipus begini akan susah di-notice,” katanya di Twitter.

 

Pendapat Ahmad Jilul itu turut dibalas oleh seorang lagi warganet Twitter bernama Hana Yuliana.

Jelas Hana Yuliana, tulisan pada logo tersebut agak sukar untuk dibaca.

“Memang sukar dibaca, aku malah melihatnya (sebagai huruf) ha lam alif ha, atau ha lam alif dal. 

“Mungkin ada makna lain yang dikemas seorang kata ‘halal’, padahal…” tulisnya di Twitter.

 

Bagimanapun ada warganet yang berpendapat rekaan logo versi baharu itu hanyalah mengikut kreativiti perekanya yang mahir dalam kaligrafi.

“Kalau hanya menyoal bentuk husnu zhon saja, kerana kaligrafi itu jenisnya banyak dan itu termasuk dalam karya seni.

“Yang penting kan fungsinya,” katanya.

 

 

Sumber: Liputan 6

Aireena Marizan