Siakap Keli
Gambar: Google

Tiada Lagi Yang Lama, Logo ‘Halal Indonesia’ Versi Baharu Dilancarkan

Kementerian Agama Indonesia melalui Agensi Jaminan Produk Halal (BPJPH) telah menetapkan logo Halal Indonesia baharu berkuat kuasa 1 Mac baru-baru ini.

Menurut Setiausaha BPJPH, Muhammad Arfi Hatim, logo baharu tersebut digunakan secara rasmi bagi menggantikan logo Halal Indonesia terdahulu yang tertera nama Majlis Ulama Indonesia (MUI).

Jelas Arfi memetik Banten Raya, logo halal itu juga digunakan sebagai tanda sesuatu produk itu dijamin halal statusnya serta mempunyai sijil halal yang sah keluaran BPJPH.

“Penggunaan label Halal Indonesia mesti dilakukan pada pembungkusan produk, bahagian tertentu produk, dan tempat tertentu pada produk,” maklumnya, memetik Banten Raya.

Difahamkan, keputusan penggunaan logo halal baharu itu dikeluarkan di Jakarta pada 10 Februari lepas yang ditandatangani oleh ketua BPJPH, Muhammad Aqil Irham dan berkuat kuasa mulai 1 Mac baru-baru ini.

“Penetapan label halal itu merupakan mandat Perkara 37 Undang-Undang No 33 Tahun 2014 tentang Jaminan Produk Halal (JPH).

“Penetapan ini juga merupakan sebahagian daripada pelaksanaan amanat Peraturan Pemerintah (PP) Nombor 39 Tahun 2021 tentang Pelaksanaan Sektor JPH,” katanya, memetik Banten Raya.

Justeru, para peniaga, usahawan serta pemilik syarikat di Indonesia diarahkan untuk menukar logo Halal Indonesia versi lama (MUI) kepada yang baharu.

Sumber: Banten Raya

Aireena Marizan