Indonesia memberi amaran bahawa Singapura juga bakal menerima risiko gangguan internet besar-besaran sekiranya sambungan kabel dasar laut yang menghubungjan kedua-dua engara berkenaan dipotong.
Menteri Komunikasi dan Digital Indonesia, Meutya Hafid memberi respon mengenai perkara berkenaan susulan bekas ahli politik Singapura, Calvin Cheng Ern Lee, yang mengancam untuk memutuskan laluan internet Indonesia.
Potong Kabel Internet Indonesia? Ini respon Meutya
“Kita tidak perlu bertindak. Sistem komunikasi kabel dasar laut yang bersambung ke Singapura tidak sampai ke sana begitu sahaja.
“Sebahagian besar laluannya melalui perairan Indonesia. Jika terputus atau diputuskan, 80 peratus kapasiti kesalinghubungan Singapura juga berisiko lumpuh,” katanya.
Beliau menambah, tindakan itu juga berisiko menyebabkan pelabur daripada syarikat teknologi global meninggalkan Singapura, mengambil kira jumlah pengguna internet Indonesia yang menurutnya mencecah 267 juta orang.
Menurut beliau, infrastruktur digital sepatutnya dipelihara bersama kerana kepentingannya bukan hanya melibatkan kedua-dua negara, malah kesalinghubungan global.
“Jumlah penduduk Indonesia adalah 47 kali ganda berbanding Singapura. Seramai 267 juta penduduk mempunyai akses internet. Tanpa angka ini, pelabur daripada syarikat teknologi global berpotensi angkat kaki dari Singapura,” tegas Meutya.
“Kita tidak boleh berfikiran sempit. Infrastruktur digital ialah sektor yang perlu dipelihara bersama, bukan sahaja demi kepentingan kedua-dua negara, tetapi juga untuk kesalinghubungan global,” tambahnya.
Terdahulu, Calvin memuat naik sebuah infografik mengenai kebergantungan pembangunan internet Indonesia pada laluan melalui Singapura.
Beliau kemudian memberikan komen ringkas yang mencadangkan supaya laluan itu diputuskan.
“Potong?” tulisnya.
Pada bahagian bawah hantaran itu, beliau turut menambah bahawa Singapura tidak akan berbuat demikian kerana mereka merupakan masyarakat yang mematuhi undang-undang.
“Kami ialah masyarakat bertamadun yang mematuhi undang-undang. Sudah tentu kami tidak akan melakukan perkara ini,” kata Cheng.
Beberapa pengguna yang mengulas hantaran tersebut menyatakan bahawa tindakan itu turut akan memberikan kesan terhadap ekonomi Singapura.
Malah, terdapat pengguna yang mencadangkan supaya Indonesia menutup Selat Melaka sebagai tindak balas.
