KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Insiden kecurian kabel bawah tanah dikenal pasti sebagai punca 450 unit lampu jalan di Jalan Persekutuan FT29 dan FT30 di sekitar Putrajaya tidak berfungsi, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.
Beliau berkata lokasi berlaku kecurian kabel berkenaan ialah di persimpangan FT29/ Lebuhraya Maju (MEX), persimpangan FT29/ FT30, persimpangan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), persimpangan Lebuh Gemilang dan persimpangan Lebuh Wadi Ehsan.
“Jadi curi kabel ini (isu) penguatkuasaan...kedai besi buruk membeli. Kalau mereka tak beli, tak adalah orang nak jual dan curi kabel.
“Jadi dua-dua perkara ini iaitu pencuri kabel dan pembeli kabel yang dicuri itu perlu diambil tindakan dan penguatkuasaan perlu diadakan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) berkenaan status penyelenggaraan lampu bagi laluan FT29 serta FT30, serta rancangan penggunaan lampu jalan solar khususnya di lokasi yang kerap berlaku kecurian kabel lampu melalui peruntukan khas pada 2027.
Ahmad berkata secara keseluruhannya, terdapat 720 unit lampu jalan tidak berfungsi di kedua-dua jalan persekutuan berkenaan, dengan faktor kerosakan lain termasuk akibat dilanggar dan jangka hayat yang lama.
Beliau berkata pada 2025, Kementerian Kerja Raya (KKR) menyalurkan peruntukan sebanyak RM840,000 di bawah Program Penyenggaraan Jalan-Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia bagi FT29 dan FT30.
Mengenai pemasangan lampu solar, Ahmad berkata keutamaan diberikan bagi kawasan yang terdedah kepada vandalisme, kawasan kampung serta lokasi yang jauh daripada rangkaian bekalan elektrik.
“Kos lampu solar ialah RM10,000 sebatang, manakala lampu konvensional antara RM4,000 hingga RM5,000 sebatang. Lampu konvensional berdepan kemungkinan kecurian kabel, manakala lampu solar mempunyai tempoh jaminan lima tahun berbanding dua tahun bagi lampu konvensional.
Ahmad turut meminta Ahli Parlimen yang mahu memasang lampu solar di kawasan masing-masing untuk membuat permohonan kepada Kementerian Kerja Raya, dengan keutamaan akan diberikan kepada kawasan yang berlaku kemalangan.

