SHAH ALAM, 19 Nov (Bernama) -- Sebanyak 439 kecurian aset Tenaga Nasional Berhad (TNB) membabitkan kabel dengan nilai kerugian RM62.7 juta di Selangor direkodkan sejak 1 Jan 2023 hingga 30 Sept lepas.
Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Datuk Izham Hashim berkata untuk tahun ini sahaja hingga 30 Sept, sebanyak 166 kes direkodkan dengan Cheras mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 45 kes, diikuti Bangi (37), Pelabuhan Klang (24), Banting (12) dan Rawang (10).
Sementara itu, Izham memaklumkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor merekodkan 38 kes kecurian kabel dan peralatan di rumah pam serta pintu air dari 2023 hingga 2026, membabitkan kerugian kira-kira RM1.5 juta.
“Daerah Klang mencatatkan kerugian tertinggi sebanyak RM667,000 melibatkan lapan kes, diikuti Kuala Langat (17 kes, RM499,000), Kuala Selangor (10 kes, RM318,000) dan Sepang (tiga kes, RM47,000),” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.
Izham menjawab pertanyaan Jefri Mejan (PN-Ijok) yang ingin tahu jumlah kes kecurian kabel JKR dan TNB yang direkodkan di Selangor sejak 2023 hingga kini, serta nilai kerugian mengikut daerah.
Selain itu, Izham berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) turut mengalami kerugian dianggarkan antara RM50,000 hingga RM100,000 sebulan bagi setiap kes kecurian kabel yang berlaku di sembilan daerah di negeri ini.

