Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

"Penulis Muda Perlu Terus Membaca, Menulis Untuk Bersaing Dengan Nama Besar"- Anwar Ridhwan

penulis muda membaca

Dalam dunia kesusasteraan, penulis muda didapati sukar membina nama dan mendapatkan tempat seiring penulis berpengalaman yang sudah lama bertapak.

Mengulas perkara itu, Sasterawan Negara, Datuk Dr Anwar Ridhwan berkata, penulis muda perlu terus memperkukuh kemahiran penulisan melalui pembacaan karya bermutu dan menghasilkan karya secara bertanggungjawab bagi membina nama dalam dunia kesusasteraan.

Menurut beliau yang ditemui di Majlis Pelancaran dan Tayangan Perdana Program Kalam Karyawan 2026 disini semalam, penulis muda perlu membaca karya sastera tempatan dan terjemahan bagi memperluas pengetahuan serta meningkatkan mutu penulisan mereka.

Katanya, penulis juga perlu menguasai penggunaan bahasa yang betul, memilih tema bersesuaian dan mengolah karya dengan baik bagi menghasilkan penulisan berkualiti.

“Saya kira, mereka harus terus membaca karya-karya yang bagus, karya tempatan atau terjemahan.

“Yang kedua, mereka harus terus menulis dengan bertanggungjawab, ertinya dengan menggunakan bahasa yang betul, mencari tema yang sesuai dan mengolahnya dengan cara yang baik,” katanya.

Selain Penulis Muda Perlu Terus Membaca, Editor Berperanan Penting Dalam Memastikan Mutu Sesebuah Karya

Dalam pada itu, Anwar menegaskan kepentingan peranan editor dalam memastikan mutu sesebuah karya, terutama ketika kemudahan platform digital membolehkan penulis menerbitkan hasil penulisan mereka sendiri.

Walaupun kemudahan platform digital memudahkan penulis menerbitkan karya mereka secara langsung, proses penyuntingan tetap tidak boleh dipandang ringan.

Ini kerana setiap karya memerlukan penelitian dari segi penggunaan bahasa, struktur penulisan dan penyampaian supaya mesej yang ingin disampaikan dapat difahami pembaca.

Menurutnya, penulis tidak seharusnya mengetepikan proses penyuntingan kerana editor memainkan peranan penting dalam mengenal pasti kesilapan dan memperkemas kandungan sebelum karya diterbitkan.

“Jadi, peranan editor itu penting sekali. Saya menggalakkan supaya penulis dengan editor dapat digandingkan untuk menghasilkan karya yang bagus,” katanya.

AI Tidak Mampu Mengganti Peranan Sasterawan

Mengulas penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam penulisan, beliau berpandangan teknologi itu boleh membantu penulis dari sudut mekanikal, namun tidak mampu menggantikan sepenuhnya peranan sasterawan.

Beliau berkata, bakat, sensitiviti dan cita-cita merupakan tiga unsur penting yang membezakan manusia daripada AI dalam penghasilan karya sastera.

“Penulis yang menggunakan AI perlu menyunting hasil penulisan dengan memasukkan unsur emosi dan pengalaman manusia supaya karya yang dihasilkan mempunyai jiwa serta mampu menyentuh perasaan pembaca,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan penulis perlu memanfaatkan teknologi secara bijaksana tanpa mengabaikan nilai kemanusiaan, pemikiran dan tanggungjawab dalam berkarya.

Intipati
  • Anwar Ridhwan berkata penulis muda perlu membaca karya bermutu dan menulis secara bertanggungjawab.
  • Beliau menegaskan editor penting untuk mengesan kesilapan dan memperkemas kandungan sebelum diterbitkan.
  • Anwar berpandangan AI membantu aspek mekanikal, tetapi tidak menggantikan bakat dan sensitiviti sasterawan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan