Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kepentingan Rakyat Terus Jadi Keutamaan PM Anwar, Kata Fahmi

rakyat
Kredit: Facebook Fahmi Fadzil

Kepentingan dan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan dalam kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Iklan

Beliau berkata, meskipun tempoh empat tahun menerajui negara bukan satu perjalanan mudah, komitmen untuk melaksanakan pembaharuan serta membina masa depan Malaysia yang lebih baik tetap menjadi tekad Perdana Menteri.

“Perkongsian YAB PM memperlihatkan dengan jelas kerangka pemikiran seorang pemimpin yang berpaksikan nadi rakyat dalam mendepani pelbagai cabaran serta menentukan hala tuju negara,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook selepas menghadiri program Dialog Negara bersama Perdana Menteri malam ini.

Program Dialog Negara Khas bertajuk “Di Sebalik Keputusan...” yang disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan saluran media tempatan pada pukul 9 malam itu menampilkan panel daripada pelbagai segmen masyarakat.

Menerusi program berkenaan, para panelis mengemukakan persoalan kepada Perdana Menteri berkaitan dasar, pertimbangan dan keputusan yang dibuat oleh kerajaan.

Antara perkara yang dibangkitkan termasuk jaminan hak penduduk asal dalam pembangunan semula bandar, perkhidmatan kesihatan awam serta pendidikan kesihatan mental di sekolah.

Turut disentuh ialah cadangan penubuhan dana kekayaan berasaskan kecerdasan buatan (AI), usaha membanteras rasuah, kebebasan bersuara dalam kalangan mahasiswa serta isu penempatan penjawat awam.

Selain itu, Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) turut menjadi antara perkara yang dibincangkan dalam program berkenaan.

Intipati
  • Fahmi berkata kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan dalam kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
  • Beliau menghadiri Dialog Negara bersama Perdana Menteri, yang disiarkan RTM dan media tempatan.
  • Panel membangkitkan isu pembangunan bandar, kesihatan awam, pendidikan mental, rasuah dan PRU16.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan