Anthony Loke berpandangan UMNO tidak sepatutnya mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membubarkan Parlimen susulan perbezaan pandangan berhubung kemungkinan rombakan Kabinet.
Bekas Menteri Pengangkutan itu berkata, kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai perkara berkenaan merupakan pandangan peribadi beliau, manakala kuasa menentukan rombakan Kabinet terletak sepenuhnya pada Perdana Menteri.
Menurut Setiausaha Agung DAP itu, Timbalan Perdana Menteri juga tidak mempunyai kuasa untuk menentukan perkara berkenaan.
Beliau turut melihat terdapat usaha mengambil kesempatan daripada momentum politik ketika ini bagi mendesak Anwar membubarkan Parlimen, namun yakin Perdana Menteri tidak akan tunduk kepada tekanan tersebut.
“Perdana Menteri masih ada mandat dan masih mempunyai sokongan yang cukup di Parlimen untuk meneruskan pentadbirannya.
“Mandat beliau masih ada setahun lagi. Walaupun saya meletakkan jawatan daripada Kabinet, kita memberikan sokongan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus mentadbir negara.
“Jadi, memang tidak ada keperluan untuk tunduk kepada tekanan yang cuba dibawa oleh UMNO kepada Perdana Menteri. Kita tahu permainan politik mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas ceramah Pakatan Harapan (PH) di Melaka Baru pada Selasa.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, sekiranya UMNO merasakan tidak lagi boleh bekerjasama atau menghormati Perdana Menteri, parti itu boleh mengambil tindakan berkaitan sokongan politik mereka.
Katanya, UMNO boleh menarik balik sokongan sekiranya berpendirian sedemikian dan bukannya mendesak Parlimen dibubarkan.
“Sepatutnya kalau mereka rasa sudah tidak boleh bekerjasama ataupun tidak lagi menghormati Perdana Menteri, mereka boleh buat tindakan dari segi sokongan atau menarik balik sokongan.
“Tetapi tidak perlu menekan Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan keputusan membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah, Anthony menyeru semua pihak menghormati kuasa Raja-Raja Melayu, Perlembagaan dan undang-undang negara.
Beliau mengakui keputusan berkenaan mungkin sukar diterima oleh sebahagian masyarakat, namun menegaskan bahawa ia perlu dihormati.
“Ya, sudah tentu saya yakin ramai orang juga susah untuk menerima fakta bahawa Najib boleh melalui tahanan rumah tetapi saya yakin kita perlu menghormati kuasa Raja dan Perlembagaan serta undang-undang di negara ini.
“Kita terima keputusan itu dan sama ada kita boleh menerimanya atau tidak, boleh nyatakan pilihan melalui kertas undi,” ujarnya.
Ditanya sama ada isu membabitkan Najib bakal mempengaruhi keputusan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Anthony berkata, perkara itu bergantung kepada pertimbangan rakyat.
Bagaimanapun, jelasnya, penilaian pengundi bukan hanya tertumpu kepada isu membabitkan individu tertentu, sebaliknya turut mengambil kira prestasi wakil rakyat, khidmat kepada masyarakat dan pembangunan negeri.
“Faktor Najib juga salah satu faktor yang boleh dipertimbangkan oleh pengundi,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai individu yang bakal menggantikannya susulan peletakan jawatan daripada Kabinet, Anthony berkata, perkara berkenaan masih belum dibincangkan.
“Tentang pengganti saya, nanti kita bincang hal itu. Belum lagi,” katanya.

