Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tiada Keperluan Tergesa-Gesa Putuskan Peletakan Jawatan Anthony Loke - Anwar

Peletakan Jawatan Anthony Loke
Kredit: Bernama

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Tiada keperluan untuk kerajaan tergesa-tergesa membuat keputusan berhubung peletakan jawatan Menteri Pengangkutan Anthony Loke meskipun surat rasmi berhubung perkara itu telah diterima, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata perkara tersebut memerlukan penelitian terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Saya belum menerima peletakan jawatan (Loke). Surat saya dah terima dan dia kata berkuat kuasa serta merta, tetapi saya tentunya akan mengambil masa untuk teliti,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Madrasathul Gouthiyyah Surau Brickfields di sini, hari ini.

Semalam, Loke yang juga Setiausaha Agung DAP menegaskan pendirian beliau untuk kekal dengan keputusan meletak jawatan serta-merta susulan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya secara tahanan di rumah, Selasa lepas.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Seremban itu berkata 40 Ahli Parlimen DAP termasuk dirinya kekal teguh menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, sekali gus menolak sebarang tanggapan bahawa peletakan jawatannya mencerminkan keretakan dalam kerajaan.

Sementara itu, mengulas perjalanan mesyuarat Kabinet susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Anwar berkata perbincangan berjalan seperti biasa dan menyifatkan peningkatan suhu politik ketika pilihan raya sebagai bersifat sementara sebelum kembali reda selepas proses itu selesai.

“Suhu di luar (ketika PRN) itu biasa (panas) tapi mesyuarat tadi biasa, saya tidak kesan apa-apa masalah,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta barisan menteri turut hadir pada mesyuarat itu yang memberi tumpuan kepada agenda pembangunan dan penyediaan kemudahan untuk rakyat.

Intipati
  • Anwar berkata kerajaan tidak perlu tergesa-gesa memutuskan peletakan jawatan Anthony Loke.
  • Beliau mengesahkan surat rasmi diterima, namun akan meneliti perkara itu terlebih dahulu.
  • Anwar berkata mesyuarat Kabinet berjalan biasa dan tertumpu kepada agenda pembangunan rakyat.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan