Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Anthony Loke Umum Letak Jawatan Menteri Pengangkutan Berkuat Kuasa Serta-Merta

Anthony Loke Umum Letak Jawatan
Kredit: Bernama

Anthony Loke memaklumkan bahawa beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Datuk Seri Najib Razak menjalani tahanan di rumah.

Iklan

Menurutnya, keputusan itu berpegang pada prinsip dan pendirian yang telah dijelaskan oleh beliau sebelum ini.

Anthony Loke umum letak jawatan

“Selaras dengan pendirian yang telah saya umumkan pada Jumaat lalu, peletakan jawatan saya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta.

“Saya merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas kepercayaan dan mandat yang diberikan kepada saya untuk berkhidmat dalam Jemaah Menteri beliau sejak Disember 2022,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada barisan pengurusan tertinggi serta seluruh warga Kementerian Pengangkutan atas komitmen dan kerjasama sepanjang beliau menerajui Kementerian Pengangkutan (MOT).

“Saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya untuk memastikan urusan peralihan tugas berjalan lancar dan segala tanggungjawab dan inisiatif kementerian terus dilaksanakan demi kepentingan rakyat,” tambahnya

Terdahulu, Najib diperintah menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi kaedah tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta di sini, yang berkuat kuasa serta-merta.

Perintah baharu itu menyaksikan Najib menjalani hukuman tahanan rumah hingga 23 Ogos 2028 sebelum kembali ke Penjara Kajang pada 24 Ogos tahun sama untuk menjalani hukuman penjara berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).