Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Peletakan Jawatan Saya Berkuat Kuasa Sebaik Najib Tiba Di Kediaman - Loke

Loke
Kredit: Bernama

PUTRAJAYA, 6 Nov (Bernama) -- Peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan akan berkuat kuasa serta-merta sebaik sahaja bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di kediaman untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.

Iklan

Loke berkata surat peletakan jawatannya sudah dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Sept lepas dan beliau akan mengemukakan surat tambahan bagi memaklumkan perkembangan terkini berhubung perkara tersebut.

“Kalau malam ini dia jejak rumah, malam inilah berkuat kuasa. Kalau esok, esoklah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.

Loke yang juga Setiausaha Agung DAP berkata keputusan itu dibuat selaras dengan pendirian tegas parti berkenaan berhubung isu tahanan rumah terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan DAP menghormati kuasa dan prerogatif Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pengampunan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Namun demikian, kami berpandangan bahawa pemberian tahanan rumah kepada Najib, yang terlibat dalam skandal yang membawa kesan yang begitu besar kepada ekonomi dan imej negara, berpotensi membawa satu mesej yang tidak wajar kepada generasi akan datang,” katanya.

Loke berkata ketika beliau mengemukakan peletakan jawatan sebelum ini, Perdana Menteri memintanya meneruskan tugas sehingga isu pembayaran RM50 juta diselesaikan dan Najib dibenarkan pulang ke rumah.

Beliau berkata pembayaran RM50 juta itu difahamkan sudah diselesaikan di Mahkamah Tinggi pagi tadi.

Bagaimanapun, Loke berkata beliau dimaklumkan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa Najib masih belum dibenarkan pulang ke rumah.

Katanya, Najib dibawa ke klinik pergigian untuk menjalani pemeriksaan gigi yang telah dijadualkan hari ini.

Dalam pada itu, Loke memberi jaminan bahawa segala perancangan dasar dan pelaksanaan projek di bawah Kementerian Pengangkutan akan berjalan lancar seperti biasa biarpun beliau tidak lagi menerajui kementerian berkenaan.

Beliau berkata pegawai kementerian mempunyai keupayaan untuk memastikan kesinambungan perancangan yang telah disusun, termasuk inisiatif diumumkan menerusi Belanjawan 2027.

“Ini termasuk berkenaan dengan MyCommuter50, akan dilancarkan menjelang Disember nanti. ECRL akan mula beroperasi pada 12 Dis. Operasi Sistem Transit Rapid (RTS) Link menyusul pada Februari, semua perancangan itu akan berjalan dengan lancar seperti biasa,” katanya.

Loke juga berkata beliau akan terus memberikan sokongan padu kepada Kementerian Pengangkutan walaupun selepas ini hanya berkhidmat sebagai Ahli Parlimen.

Sementara itu, Loke merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri atas kepercayaan serta mandat yang diberikan sepanjang 47 bulan beliau berkhidmat menerajui kementerian berkenaan sejak Disember 2022.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan, barisan timbalan ketua setiausaha, setiausaha bahagian serta seluruh warga kementerian atas sokongan dan kerjasama padu sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Loke berkata mesyuarat pasca Kabinet dipengerusikannya hari ini bertujuan menyelesaikan urusan pentadbiran kementerian sekali gus memastikan kelancaran proses peralihan tugas kelak.

Beliau turut dijadual menghadiri majlis sambutan Deepavali kementerian pada Rabu depan, yang disifatkannya berkemungkinan menjadi majlis perpisahan rasmi beliau bersama warga kementerian itu.

Terdahulu, Najib selesai menjelaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Pegawai Khas kepada Najib, Ahmad Lutfi Azhar hadir di mahkamah kira-kira 11.30 pagi tadi bagi menyelesaikan transaksi pembayaran serta melengkapkan prosedur dokumentasi yang diperlukan sebelum urusan berkenaan dimuktamadkan.

Pembayaran denda itu merupakan antara syarat pengampunan bersyarat diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 18 Sept lepas, yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.