KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia menghentikan aktiviti pendaftaran dan dokumentasi pelarian serta pemohon suaka berkuat kuasa 18 Nov.
UNHCR dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu selaras dengan keputusan Malaysia untuk melaksanakan pendaftaran pelarian dan pemohon suaka menerusi program yang diterajui kerajaan.
“UNHCR menyokong penuh usaha Kerajaan Malaysia untuk menerajui dan memperkukuh rangka kerja pengurusan suaka dan akan terus mengadakan perbincangan berhubung Pelan Hala Tuju Peralihan yang dicadangkan.
“Usaha ini bagi menyokong peralihan secara berperingkat yang praktikal dengan mengambil kira aspek perlindungan kepada pelarian dan pemohon suaka,” menurut kenyataan itu.
Menurut UNHCR, pelan hala tuju yang dicadangkan itu menekankan keperluan menyediakan langkah perlindungan sewajarnya, komunikasi berkesan serta kerjasama antara semua pihak berkepentingan.
UNHCR turut memaklumkan bahawa pihaknya akan terus memberikan khidmat nasihat teknikal, berkongsi kepakaran serta bekerjasama dengan Kerajaan Malaysia sebagai rakan konstruktif sepanjang tempoh peralihan itu.
Kenyataan itu memaklumkan UNHCR bersama-sama rakan kerjasamanya juga akan meneruskan aktiviti lain termasuk bantuan dan penempatan semula pelarian serta pemohon suaka yang mempunyai keperluan perlindungan mendesak.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian bantuan UNHCR di 017-6143810 atau menghubungi rakan kerjasama dan pemimpin komuniti agensi berkenaan.

