Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi hak asasi manusia di wilayah Palestin, Francesca Albanese, meminta Indonesia mempertimbangkan semula penglibatannya dalam Board of Peace (BoP) yang ditubuhkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, lapor Kompas.
Albanese berpandangan bahawa badan itu ditubuhkan dengan pengaruh besar AS dan Israel, selain tidak memberikan ruang yang mencukupi kepada suara rakyat Palestin.
“Saya memahami niat baik (Indonesia). Namun, saya tetap berpendapat bahawa perkara ini sangat berbahaya kerana berisiko menormalisasikan mekanisme yang sangat tidak normal,” kata Albanese dalam temu bual bersama di Jakarta pada Khamis.
Trump mengumumkan penubuhan BoP pada Januari lalu sebagai sebuah badan baharu untuk menangani konflik global yang selama ini lazimnya dikendalikan PBB.
Indonesia sebelum ini menyatakan persetujuan untuk menjadi anggota badan tersebut dan memberikan komitmen menghantar tentera ke Gaza sebagai sebahagian daripada pasukan penstabilan antarabangsa.
Indonesia Pertimbang Penglibatan
Kementerian Luar Indonesia pada Khamis lalu memaklumkan bahawa perbincangan mengenai penglibatan negara itu dalam BoP masih ditangguhkan.
Kenyataan tersebut mengulangi pendirian Indonesia sebelum ini.
Albanese berkata, Indonesia mempunyai sejarah panjang dalam menyokong perjuangan Palestin.
Bagaimanapun, menurutnya, keputusan menyertai BoP boleh membawa risiko terhadap kedudukan Indonesia.
Beliau turut berpandangan bahawa dari sudut undang-undang, Israel tidak sepatutnya mempunyai peranan dalam menentukan masa depan rakyat Palestin.
Beberapa pakar hak asasi manusia sebelum ini mengkritik BoP kerana tidak mempunyai wakil Palestin, meskipun badan tersebut diwujudkan untuk menyelia pentadbiran sementara di wilayah berkenaan.
Pihak BoP bagaimanapun menafikan tanggapan bahawa rakyat Palestin diketepikan. Seorang pegawai badan itu berkata, kepimpinan dan hak rakyat Palestin untuk menerajui proses tersebut kekal menjadi teras utama.
Menurut pegawai berkenaan, pentadbiran awam dan usaha pemulihan Gaza diterajui Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza (NCAG), yang dianggotai golongan profesional Palestin dari Gaza serta dipimpin bekas pegawai Pihak Berkuasa Palestin, Ali Shaath.
Namun, Albanese berpendapat bahawa penglibatan beberapa pegawai Palestin itu masih belum mencukupi untuk memastikan rakyat Palestin diwakili.
Indonesia Dikritik
Indonesia, yang menyokong penyelesaian dua negara dan berulang kali mengecam keganasan Israel, turut menerima kritikan daripada beberapa kumpulan dalam negara kerana bersedia menyertai BoP yang turut dianggotai Israel.
Pejabat Presiden Prabowo Subianto sebelum ini memaklumkan bahawa beliau berjanji akan menarik diri daripada BoP sekiranya penglibatan Indonesia tidak memberikan manfaat kepada Palestin.
Albanese berkata, penglibatan Indonesia berisiko menjejaskan hubungan rapat negara itu dengan Palestin.
“Tindakan ini sangat berisiko apabila peraturannya ditetapkan oleh Israel,” ujar Albanese.
Beliau turut menyarankan agar Indonesia menyertai Kumpulan Hague, sebuah kumpulan negara yang turut dianggotai Afrika Selatan dan Malaysia.
Kumpulan tersebut berusaha menegakkan undang-undang serta proses antarabangsa, termasuk melalui Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), berhubung tindakan Israel.
Rancangan Trump Di Gaza Buntu
Rancangan Trump untuk Gaza kini menemui jalan buntu. Gencatan senjata pada 2025 membawa kepada pembebasan tebusan yang masih ditahan Hamas serta ratusan tahanan dan banduan Palestin.
Bagaimanapun, usaha melucutkan senjata Hamas dan memastikan pengunduran Israel berdepan halangan.
Israel juga masih melancarkan serangan hampir setiap hari di Gaza.
