YouTuber terkenal, IShowSpeed sekali lagi dinobatkan sebagai penstrim terbaik atau Streamer of the Year pada majlis anugerah The Streamer Awards 2026.
Namun, detik ketika dia menerima trofi berkenaan menjadi tular apabila pencipta kandungan dari Amerika Syarikat (AS) menyampaikan keseluruhan ucapan kemenangannya dalam bahasa Indonesia.
“Terima kasih banyak semuanya. Aku bermula dari kosong. Hanya seorang kanak-kanak dengan impian besar. Kalian telah bersamaku sejak awal. Kalian bukan sekadar peminat. Kalian adalah keluargaku.
“Aku tidak akan berhenti. Aku akan terus berjuang untuk kalian. Aku sayang kalian semua,” katanya.
Selepas menyampaikan ucapan tersebut, IShowSpeed atau nama sebenarnya Darren Jason Watkins Jr. itu melakukan aksi ikoniknya, iaitu backflip di atas pentas sambil memegang trofi kemenangan.
Aksi tersebut juga pernah dilakukannya sebelum ini beberapa kali di dalam siaran langsungnya.
Untuk rekod, ini merupakan anugerah Streamer of the Year yang ketiga berturut-turut buat Speed selepas turut memenangi kategori sama pada 2024 dan 2025.
Pada tahun ini, beliau berjaya mengatasi empat penstrim popular lain, iaitu CaseOh, Joe Bartolozzi, Jynxzi dan Stable Ronaldo.
Selain itu, Speed turut meraih anugerah Best IRL Streamer.
IRL merupakan singkatan kepada In Real Life, iaitu istilah yang merujuk kepada siaran langsung yang memaparkan aktiviti atau kegiatan dalam kehidupan sebenar.
