Vietnam dilapor telah menyekat tayangan filem aksi dari Sony, Uncharted daripada edaran domestik berikutan satu babak yang memaparkan ‘garisan sembilan sempang’ di Laut China Selatan.
Menurut Asia Financial, garisan kawasan itu ‘wujud’ di kawasan Laut China Selatan dan pernah dituntut serta diisytihar oleh China sebagai wilayah mereka.
Difahamkan, sekatan tayangan tersebut adalah disebabkan China yang sebelum ini pernah menyuarakan tuntutan terhadap sebahagian besar kawasan laut itu.
Memetik Asia Financial, ‘garisan sembilan sempang’ berbentuk U yang digunakan pada peta China itu adalah gambaran tuntutannya ke atas Laut China Selatan yang kaya dengan sumber alam semula jadi.
“Ia termasuk sebahagian daripada apa yang Vietnam anggap sebagai pelantar benuanya, di mana ia telah memberi konsesi minyak,” lapor Asia Finacial.

Sementara itu, Agensi Berita Vietnam yang dikendalikan kerajaan Vietnam turut mentakrifkan kandungan kawasan ‘panas’ tersebut sebagai imej haram.
“Filem itu diharamkan daripada diedarkan selepas kami menontonnya dan mendapati ia mengandungi imej haram (iaitu) garisan sembilan sempang yang terkenal (dalam isu tuntutan China ke atas Laut China Selatan),” maklum agensi itu, memetik Asia Financial.
Uncharted merupakan sebuah filem pengembaraan penuh aksi adaptasi dari sebuah permainan video tentang pencarian harta karun.
Ia dibintangi oleh aktor yang memainkan watak utama Spiderman, Tom Holland dan akan ditayangkan di pawagam di seluruh negara pada 18 Mac 2022.
Terdahulu, Vietnam juga pernah menarik balik tayangan filem animasi DreamWorks, Abominable dari pawagam pada tahun 2019.
Pada tahun 2021 juga, Vietnam juga telah mengarahkan Netflix untuk mengalih keluar beberapa episod dari siri Pine Gap berhubung isu yang sama.
Negara bekas jajahan AS itu juga dilapor telah membantahsesi latihan ketenteraan oleh China sebanyak dua kali pada minggu lalu, memetik Asia Financial.
Sumber: Asia Financial