Siakap Keli
Sumber: Daily Star

Wanita Ukraine Ditembak Mati Ketika Cari Ubat Untuk Ibunya

Seorang wanita yang meninggalkan rumahnya di Kyiv untuk mengambil ubat buat ibunya yang sakit dilapor meninggal dunia selepas keretanya ditembak oleh kereta kebal Rusia.

Valeriia Maksetska, wanita warga Ukraine itu terbunuh di sebuah kampung di luar Kyiv, menurut satu kenyataan daripada agensi pembangunan antarabangsa USAID, memetik Daily Star.

Pentadbir USAID, Samantha Power berkata, ibunya (Irina) dan pemandu mereka (Yaroslav) sedang duduk di dalam kereta sambil menunggu konvoi Rusia melalui sebuah jalan, sebelum sebuah kereta kebal membedil kereta mereka.

Dilaporkan ketiga-tiga mangsa maut dalam serangan itu.

Difahamkan, Valeriia dilapor bekerja di Chemonics, iaitu sebuah firma pembangunan antarabangsa yang berpangkalan di Washington, AS yang bekerjasama dengan USAID.

Dia telah memilih untuk membantu rakyat di Ukraine selepas pencerobohan Rusia. Dia juga digambarkan sebagai wanita yang berani dan baik hati.

“Ini adalah kakitangan saya Valeriia ‘Lera’ Maksetska. Dia dibunuh di sebuah kampung di barat Kyiv ketika cuba mendapatkan ubat untuk ibunya yang sakit”, tulis Ketua Eksekutif Chemonics, Jamey Butcher.

Menurut Samantha, Valeriia baru sahaja menyambut hari lahirnya yang ke-32 sebelum dibunuh oleh tentera Rusia.

Sumber: Daily Star

Aireena Marizan