Siakap Keli
jet taiwan
Gambar hiasan via Taiwan News

Jet Pejuang Taiwan Terhempas, Juruterbang Berjaya Selamatkan Diri

Sebuah jet pejuang Tentera Udara Mirage milik Taiwan dilapor terhempas di pantai timur pada Isnin, 14 Mac.

Bagaimanapun, juruterbang pesawat tersebut dilaporkan sempat melentingkan kerusinya dan terselamat dari nahas tersebut.

Markas Pemerintahan Tentera Udara Taiwan menyatakan bahawa sebuah pesawat Mirage 2000-5 milik Pangkalan Udara Hsinchu telah berlepas dari Pangkalan Udara Chihhang pada jam 10:08 pagi bagi misi rutin latihan tempur.

Bagaimanapun, pada jam 11:26 pagi, Tentera Udara dilaporkan telah menerima isyarat bahawa juruterbang telah melentingkan diri dari pesawat kira-kira 10 batu nautika dari selatan pangkalan itu.

Tentera Darat segera menghantar helikopter Black Hawk UH-60M ke tempat kejadian dan pada 12:06 tengah hari bagi menyelamatkan juruterbang itu.

Juruterbang itu dikatakan berada dalam “keadaan baik” dan telah dihantar ke hospital untuk pemerhatian.

Menurut Tentera Udara, satu pasukan petugas khas sedang dihantar ke Pangkalan Udara Chihhang bagi menyiasat punca kemalangan itu. Anak kapal dilapor masih lagi sedang mencari serpihan pesawat tersebut.

Sejak dari tahun 1999, lapan jet pejuang Mirage 2000 dilaporkan telah terhempas di Taiwan, termasuk kejadian yang berlaku hari ini. Daripada nahas itu, tujuh juruterbang telah diselamatkan.

Lima juruterbang telah meninggal dunia semasa menjalankan tugas. Enam Mirage 2000 telah rosak dan tidak dapat dibaiki, manakala 54 masih utuh.

Sumber: Taiwan News

Aireena Marizan