Siakap Keli
Kredit: Space.com

Berapa Jauh Jarak Matahari Dengan Kepala Manusia Ketika Di Padang Mahsyar Nanti? Ini Jawab Dr. Zulkifli

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Matahari merupakan salah satu bentuk kekuasaan Allah S.W.T yang diciptakan sebagai sumber cahaya. Matahari mengeluarkan haba cahaya yang mempunyi haba panas untuk memberi manfaat kepada hidupan di Bumi.

Menurut sains, cahaya matahari diperlukan oleh tumbuh-tumbuhan untuk melakukan proses fotosintesis bagi tumbesarannya. Seterusnya, ia akan menjadi sumber makanan asas kepada manusia. Begitulah kitaran kehidupan, segalanya saling bergantung.

Namun apabila dunia ini sudah berakhir dan kesemua makhlukNya dibangkitkan di padang Mahsyar kelak, benarkah matahari ini akan berada tepat di atas kepala manusia? Jika benar, sejauh manakah jaraknya dari kepala kita?

Menerusi perkongsian dari mantan Menteri Agama, Dato’ Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri melalui Maktabah Al-Bakri, beliau jelaskan persoalan tersebut daripada sudut pandang agama.

Ikuti perkongsian oleh beliau yang telah kami sertakan di bawah, semoga memberi manfaat dan penambahan ilmu buat semua.

#677 Jarak Matahari Pada Hari Mahsyar

Soalan:

Berapakah jarak matahari dengan kepala manusia pada hari mahsyar?

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Semua manusia yang hidup di atas muka bumi ini pasti akan dihisab oleh Allah SWT di hari akhirat nanti berkaitan dengan amalan yang telah mereka lakukan ketika hidup mereka di dunia dulu. Ada di antara mereka yang dipermudahkan proses hisab mereka dan ada juga sebaliknya. Firman Allah SWT:

وَجَاءَتْ كُلُّ نَفْسٍ مَّعَهَا سَائِقٌ وَشَهِيدٌ

Maksudnya: Dan (setelah itu) datanglah tiap-tiap orang (ke Padang Mahsyar), disertai (dua malaikat: yang satu menjadi) pembawa, dan (yang satu lagi menjadi) saksi.

Imam al-Tobari di dalam tafsirnya menyebut: Allah SWT berfirman bahawa mereka datang pada hari ditiupkan sangkakala kepada tuhannya (hari mahsyar), disertai dengan pembawa (malaikat) yang mengiringi mereka kepada Allah dan penyaksian yang menjadi saksi terhadap amalan mereka di dunia, sama ada baik atau jahat dan seumpamnya sebagaimana yang disebutkan oleh ahli tafsir.[2]

يُحْشَرُ النَّاسُ يَوْمَ القِيَامَةِ عَلَى أَرْضٍ بَيْضَاءَ عَفْرَاءَ، كَقُرْصَةِ نَقِيٍّ

Maksudnya: “Manusia akan dihimpunkan pada Hari Kiamat atas bumi (tanah) yang putih kemerahan seperti adunan roti yang bersih.”[3]

Syeikh al-Fauzan mengatakan: “Allah SWT akan mengumpulkan seluruh manusia setelah mereka bangkit daripada kuburnya. Mereka berjalan menuju mahsyar, sebuah tempat di mana Allah akan kumpulkan makhluk yang pertama sehingga yang terakhir. Mahsyar adalah sebuah tempat yang rata. Tidak ada tempat yang tinggi, tidak pula ada gunung mahupun bukit. Tempat yang rata, semua makhluk akan berkumpul di sana.”[4]

Jarak Matahari Dengan Kepala Di Padang Mahsyar

Matahari akan didekatkan terhadap kepala makhluk, sehingga semakin memberatkan dan menakutkan mereka. Itulah di antara peristiwa yang amat dahsyat di padang mahsyar. Maka, keluarlah keringat mereka yang akan menyiksa pemiliknya sesuai dosa-dosa mereka ketika hidup di dunia. Hal ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Sulaim bin Amir, daripada al-Miqdad bin Amr bin al-Aswad RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تُدْنَى الشَّمْسُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنَ الْخَلْقِ حَتَّى تَكُونَ مِنْهُمْ كَمِقْدَارِ مِيلٍ. قَالَ ‌سَلِيمُ بْنُ عَامِرٍ : فَوَاللهِ مَا أَدْرِي مَا يَعْنِي بِالْمِيلِ، أَمَسَافَةَ الْأَرْضِ أَمِ الْمِيلَ الَّذِي تُكْتَحَلُ بِهِ الْعَيْنُ. قَالَ: فَيَكُونُ النَّاسُ عَلَى قَدْرِ أَعْمَالِهِمْ فِي الْعَرَقِ، فَمِنْهُمْ مَنْ يَكُونُ إِلَى كَعْبَيْهِ، وَمِنْهُمْ مَنْ يَكُونُ إِلَى رُكْبَتَيْهِ، وَمِنْهُمْ مَنْ يَكُونُ إِلَى حَقْوَيْهِ، وَمِنْهُمْ مَنْ يُلْجِمُهُ الْعَرَقُ إِلْجَامًا. قَالَ: وَأَشَارَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِيَدِهِ إِلَى فِيهِ

Maksudnya: Pada hari kiamat, matahari didekatkan jaraknya terhadap makhluk sehingga tinggal sejauh satu mil.” Sulaim bin Amir berkata: “Demi Allah, aku tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan mil. Apakah ukuran jarak perjalanan, atau alat yang dipakai untuk bercelak mata.” Rasulullah SAW bersabda: “Manusia itu akan berada di dalam peluh mengikut tahap amalan mereka. Ada di antaranya yang peluhnya sehingga ke tumit, ada di antaranya juga yang peluhnya sehingga ke lutut, ada di antaranya yang peluhnya sehingga ke pinggang dan ada yang tenggelam di dalam peluhnya. al-Miqdad berkata lagi bahawa Rasulullah SAW mengisyaratkan dengan tangan Baginda SAW ke mulutnya.” [5]

Al-Fayyumi di dalam al-Misbah al-Munir Fi Gharib al-Syarh al-Kabir menyatakan 1 mil di sisi orang arab adalah sejauh mata memandang daripada tanah sebagaimana dikatakan oleh al-Azhari dan orang-orang terdahulu dalam bidang ini, jaraknya 3,000 hasta. Manakala di sisi ahli hadith 4,000 hasta.[6]

Syaikh Muhammad bin Soleh mengatakan, “Jarak satu mil ini, baik satu mil yang biasa atau mil alat celak, semuanya dekat. Apabila sedemikian rupa panasnya matahari di dunia, padahal jarak antara kita dengannya sangat jauh, maka bagaimana jika matahari tersebut berada satu mil di atas kepala kita?”[7]

Jika matahari di dunia ini didekatkan ke bumi dengan jarak 1 mil, nescaya bumi akan terbakar. Bagaimana mungkin di akhirat kelak matahari didekatkan dengan jarak 1 mil namun manusia tidak terbakar. Hal ini sebagaimana fakta sains yang menyatakan:

“Faktor terpenting yang mempengaruhi suhu permukaan bumi jelas sekali adalah jaraknya daripada matahari. Jika bumi dialihkan beberapa juta batu lebih dekat dengan matahari, permukaan bumi akan menjadi lebih panas menyebabkan glasier bumi mencair. Dengan pengurangan kawasan ais, jumlah pemantulan permukaan bumi akan berkurangan dan lebih banyak haba matahari akan diserap. Pencairan glasier akan menghasilkan peningkatan paras laut, dan, selain daripada membanjiri kebanyakan bandar moden, ia akan mewujudkan jumlah kawasan permukaan laut yang lebih besar. 

Oleh kerana air laut menyerap jumlah sinaran suria yang lebih besar daripada jisim tanah yang sama luasnya, pemanasan bumi sekali lagi akan bertambah. Tambahan pula, selepas meningkatkan suhu lautan, kebanyakan karbon dioksida terlarut lautan akan ditambah ke atmosfera bersama-sama dengan sejumlah besar air akibat peningkatan penyejatan. Peningkatan karbon dioksida dan paras wap air di atmosfera sekali lagi akan membawa peningkatan suhu yang ketara. Semua perkara yang dipertimbangkan, pengurangan jarak yang sedikit antara bumi dan matahari akan mempunyai kesan pemanasan drastik pada permukaan bumi.”[8]

Manusia Tenggelam Dengan Peluh Mereka

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَعْرَقُ النَّاسُ يَوْمَ القِيَامَةِ حَتَّى يَذْهَبَ عَرَقُهُمْ فِي الأَرْضِ سَبْعِينَ ذِرَاعًا، وَيُلْجِمُهُمْ حَتَّى يَبْلُغَ آذَانَهُمْ

Maksudnya: “Manusia akan berpeluh pada hari kiamat sehingga peluh mereka di bumi setinggi 70 hasta dan sehingga menenggelamkan mereka sampai ke telinga.”[9]

Imam al-Qustholani menyatakan ketika mensyarahkan hadith ini bahawa isyarat sampai ke kedua telinga adalah menunjukkan tahap yang tertinggi sampainya air dan tidak dinafikan bahawa air juga sampai pada tahap-tahap yang lain. Hal ini, sepertimana di dalam hadith ‘Uqbah Ibn ‘Amir yang mana ia diriwayatkan secara marfu’ bahawa dalam kalangan manusia ada yang air peluhnya sampai ke buku lalinya.

Ada juga yang air peluhnya sampai ke pertengahan betisnya, ada yang air peluhnya sampai ke lututnya, ada yang air peluhnya sampai ke pehanya, ada yang air peluhnya sampai ke pinggangnya, ada yang air peluhnya sampai ke mulutnya dan ada yang air peluhnya menenggelamkannya serta tangannya memukul di atas kepalanya sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Hakim.[10]

Syeikh Muhammad bin Soleh menyatakan: Pada hari Kiamat kelak, tatkala manusia dikumpulkan di padang mahsyar, kekuatan mereka tidaklah sama dengan kekuatan mereka ketika hidup di dunia. Akan tetapi mereka lebih kuat dan lebih tahan. Seandainya manusia sekarang ini berdiri selama 50 hari di bawah terik matahari tanpa naungan, tanpa makan, dan tanpa minum, nescaya mereka tidak mungkin mampu melakukannya, bahkan mereka akan binasa.

Namun pada hari Kiamat kelak, mereka mampu berdiri selama 50 tahun tanpa makan, tanpa minum, dan tanpa naungan, kecuali beberapa golongan yang dinaungi oleh Allah SWT. Mereka juga mampu menyaksikan kengerian-kengerian yang terjadi. Perhatikanlah keadaan penghuni Neraka yang diseksa, namun mereka tidak binasa disebabkan oleh seksaan tersebut sebagaimana firman Allah SWT:

كُلَّمَا نَضِجَتْ جُلُوْدُهُمْ بَدَّلْنَاهُمْ جُلُوْدًا غَيْرَهَا لِيَذُوْقُوا الْعَذَابَ

Maksudnya“Setiap kali kulit mereka hangus, Kami ganti kulit mereka dengan kulit yang lain, supaya mereka merasakan azab.” [11]

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa peristiwa mahsyar adalah peristiwa yang benar sebagaimana banyaknya nas daripada al-Quran dan Hadith yang menceritakannya. Bahkan jarak satu mil antara manusia dengan matahari juga adalah benar sebagaimana yang diceritakan oleh Rasulullah SAW.

Setiap yang bernyawa pasti akan dihisab atau dihitung oleh Allah SWT. Manakala, dakwaan pada hari akhirat ada manusia yang tenggelam di dalam peluhnya adalah benar kerana ia sabit daripada hadith-hadith yang sahih sebagaimana yang kami telah jelaskan di atas. Di samping itu, keadaan manusia itu adalah berbeza-beza bergantung kepada amalannya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

BACA JUGA: Boleh Ke Bunuh Tikus Guna Jerat? Awas, Ini Hukumnya Yang Ramai Tak Perasan

Sumber: Maktabahah Al-Bakri

 

 

Faiz Mustafa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.