Siakap Keli
Gambar: video tular/ mufti Selangor

Dakwaan AJK Fatwa Selangor Mahu Hidupkan Ajaran Sesat Satu Tuduhan Berat – Mufti Selangor

Baru-baru ini tular di media sosial video didakwa berkaitan isu yang bertajuk “AJK Fatwa Negeri Selangor Mahu Hidupkan Ajaran Sesat?”.

Ekoran  video tular tersebut, Dato Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Dr. Haji Anhar Bin Haji Opir mengeluarkan kenyataan menyangkal kenyataan daripada video tersebut.

“Dakwaan Ahli Jawatan Kuasa Fatwa Negeri Selangor mahu menghidupkan ajaran sesat merupakan satu tuduhan yang berat.

“Ia juga boleh mencemarkan kredibiliti institusi yang menjadi rujukan berkaitan hukum syarak di negara ini,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.

Oleh itu, dalam kenyataan tersebut, Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) kali ke-117 yang bersidang pada 25-29 Ogos 2020 telah meminda keputusan muzakarah bertarikh 3 April 2000 seperti berikut:

‘Kajian Semula Tarekat Naqsyabandiah Al-Aliyyah Sheikh Nazim Al-Haqqani Di Malaysia’

Sehubungan itu, menurut beliau, muzakarah telah merumuskan dan berpandangan bahawa tarekat tersebut boleh diamalkan, namun dengan bersyarat.

“Tarekat Naqsyabandiyah Al-Aliyyah boleh diamalkan oleh pengikutnya dengan syarat amalannya tidak bercanggah dengan prinsip akidah dan syariat dalam kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Sehubungan dengan itu juga, mana-mana tarekat boleh diamalkan dengan syarat ianya tidak bertentangan dengan prinsip akidah dan syariat dalam kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Selain itu, dalam melaksanakan amalan tarekat, pengamal hendaklah memastikan tidak berlaku amalan dan perbuatan yang tidak bersesuaian dengan uruf setempat,” jelas beliau.

Akhir sekali, beliau juga menasihatkan kepada orang ramai agar sentiasa untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih sebelum menyebarkan sesuatu perkara.

Sumber: Jabatan Mufti Negeri Selangor

Faiz Mustafa