Sejak beberapa minggu yang lalu, sering kita dengar berlakunya gempa bumi yang kuat, antara yang paling kerap berlaku adalah di sekitar Indonesia hingga impaknya boleh dirasai di Malaysia.
Salah satu kejadian gempa bumi yang berlaku tidak jauh dari Malaysia adalah di utara Sumatera pada 25 Februari lepas. Kesan gegarannya turut dirasai oleh rakyat Malaysia, khususnya di Lembah Klang.
Terkini, gempa bumi kuat bermagnitud 7.3 pula dilaporkan telah melanda pantai Fukushima di utara Jepun pada malam tadi sehingga mencetuskan amaran tsunami, lapor The Guardian.
Terfikir juga, apakah reaksi orang Jepun terhadap gempa bumi ini? Bagaimanakah mereka yang pernah hancur dalam Perang Dunia Kedua (WW2) serta dilanda bencana demi bencana boleh terus utuh ‘berdiri’ hingga hari ini?
Persoalan ini akhirnya dijawab oleh seorang rakyat Malaysia yang tinggal di Jepun, Zunita Ramli. Rupa-rupanya, rakyat Jepun ada berpegang pada satu prinsip yang mungkin tidak pernah didengari oleh mana-mana negara lain.
Ikuti perkongsian beliau yang telah kami sertakan di bawah.
Gempa bumi bermagnitud 7.3, Bagaimana reaksi orang jepun.
Malam tadi, sekitar 10:36 malam waktu Malaysia, gempa bumi bermagnitud 7.3 melanda wilayah Fukushima yang menyebabkan lebih 2 juta rumah bergelap dan terputus bekalan elektrik.
Yang jadi perhatian, pusat gegaran (epicenter) kali ini adalah berdekatan dengan Namie, iaitu kawasan merah (red zone) yang saya pernah pergi sebelum ni di Fukushima.


Bagaimana dengan Fukushima Daiichi Nuclear Plant?
Fukushima Daiichi Nuclear Plant masih dalam proses decommission ya, bermakna kerja-kerja penyejukkan rod nuklear masih dilakukan sehingga sekarang. Tapi gempa bumi malam tadi menyebabkan paras air turun buat sementara waktu dalam tangki yang disambungkan ke kolam simpanan bahan api bekas reaktor No. 2.
Penggera kebakaran (fire alarm) yang berbunyi di bangunan turbin reaktor No. 5 juga telah dipadamkan selepas disahkan tiada kebakaran yang berlaku. TEPCO juga mengesahkan pam air di kolam simpanan bahan api terpakai di loji Fukushima Daini berhenti berfungsi seketika, tetapi tidak lama kemudian menyambung semula operasi.


Tak boleh bayangkan keadaan dekat kedua-dua plant tu malam tadi.. mesti trauma macam 11 tahun lepas.
Tadi, masa saya buka TV orang awam jepun yang terjejas menyebut perkataan “ganbatte”.
Jepun, seperti yang selalu saya katakan adalah negara yang kurang stabil dari segi geografi. Bukan saja berhadapan dengan pelbagai risiko bencana alam kerana terletak di pertembungan 4 plat tektonik bumi, tapi Jepun itu sendiri mengalami pelbagai kemusnahan akibat perang sejak beratus tahun dahulu lagi.
Bagaimana kemusnahan demi kemusnahan yang Jepun terima, mereka tetap teguh berdiri bahkan berjaya membina semula negara mereka selepas hancur dalam Perang Dunia Kedua dalam tempoh kurang 20 tahun?
Ya. Mereka berpegang pada konsep “gaman”.
Gaman secara literalnya bermaksud ‘bertahan’ atau ‘sabar’. Ia juga dianggap sebagai sisi “matang” seseorang sebagai daya tahan diri untuk melawan konflik.
Gaman ni dikatakan berasal dari ajaran Buddha berkenaan memperbaiki diri sendiri sebelum perlahan-lahan diubah kepada budaya masyarakat Jepun itu sendiri.
Bagaimana ia dipraktikkan?
Walau apa pun yang berlaku, sabar dan tetap teguh berdiri.

Hingga ke hari ini, gunung berapi Sakurajima sangat aktif dengan ledakan kepulan asap tinggi di udara setiap hari, Gunung Fuji yang bila-bila saja boleh bangkit dari “tidur” di mana letusan dari Gunung Fuji bakal melenyapkan kawasan sekitarnya serta-merta, dan kini tanah di wilayah Fukushima dan sekitarnya bagaikan “berdansa” menanti sesuatu yang tak pasti tiba.
Mungkin saja mereka sudah biasa dengan situasi sebegini, atau mungkin juga kerana kepayahan yang dilalui sejak bergenerasi menjadikan mereka terus tabah.
Yang pasti, gaman.
Sumber: Facebook Zunita Ramli.