Siakap Keli
kapal kargo karam di Iran
Gambar: Kapal kargo Al Salmy 6 via Pelabuhan & Pertubuhan Maritim Iran via bloomberg

Kapal Kargo Karam Di Iran, Misi Menyelamat 30 Anak Kapal Dilancarkan

IRAN – Sebuah kapal kargo dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilaporkan karam di Teluk Parsi, lapor Agensi Berita Republik Islam Iran pada Khamis.

Memetik sumber, kapal itu yang membawa kenderaan dan 30 anak kapal dikatakan tenggelam ketika berada berdekatan bandar pelabuhan Assalouyeh.

Syarikat Salem Al Makrani Cargo yang berpangkalan di Dubai turut mengesahkan bahawa salah sebuah kapal mereka karam pagi ini.

Pengurus operasi syarikat, Kapten Nizar Qaddoura memberitahu The Associated Press bahawa kapal kargo yang dikenali sebagai Al Salmy 6 itu mengalami cuaca buruk dan ribut sebelum terbalik dan karam di laut Iran.

”Pasukan penyelamat telah menyelamatkan 16 anak kapal, 11 lagi telah berjaya menaiki rakit penyelamat. Manakala, seorang lagi diselamatkan oleh sebuah kapal tangki berhampiran.

”Dua anak kapal masih berada di dalam air,” kata Nizar.

Tambahnya, kesemua anak kapal terdiri daripada warga Sudan, India, Pakistan, Uganda, Tanzania dan Ethiopia.

Siasatan bagi mengenal pasti punca tenggelamnya Al Salmy 6 sedang dijalankan.

Pada Jun tahun lalu, media melaporkan sebuah kapal tentera terbesar milik Tentera Laut Iran karam selepas terbakar di laut Oman.

Kapal itu tenggelam ketika berada berdekatan Pelabuhan Jask di selatan wilayah Hormozgan, lapor Bernama.

Tentera Laut Iran dalam satu kenyataan berkata, ketika kejadian terdapat seramai 400 anak kapal dan pelatih di dalam kapal Kharg iaitu sebuah ‘kapal latihan’ yang berukuran lebih 200 meter panjang.

Jelas kenyataan, kebakaran dikatakan meletus dalam salah satu sistem kapal sebelum api mula merebak dan misi untuk untuk menyelamatkan Kharg menemui kegagalan dan tenggelam di perairan di luar Jask.

Gambar yang disiarkan oleh televisyen turut menunjukkan kepulan asap tebal menjulang naik dari kapal terbakar itu.

Kesemua mangsa terlibat dilaporkan berjaya diselamatkan, dengan 20 daripadanya dilaporkan mengalami kecederaan melecur.

Kapal itu dibina pada tahun 1984 di Britain dan dilancarkan sebelum Revolusi Iran pada tahun 1979.

Kharg mula memasuki perkhidmatan tentera laut negara itu pada tahun 1984.

Sumber: Mirror UK, The Economic Times India

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.