Siakap Keli
covid-19 hong kong
Gambar via Daily Mail

Kontena Dibanjiri Mayat, Gelombang Omicron Serang China

Bilik mayat di Hong Kong ‘dibanjiri’ mayat pesakit COVID-19 sehingga jasad-jasad berkenaan terpaksa dipindahkan ke dalam kontena, lapor Daily Mail.

Menurut laporan Daily Mail, para petugas yang lengkap dengan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) dilihat mengalihkan mayat-mayat di dalam beg hitam ke dalam kontena di luar Rumah Mayat Fu Shan semalam.

Gambar via Daily Mail

Hong Kong dikatakan hampir mencecah angka juta untuk kes positif COVID-19 dan merekodkan lebih 4,600 kematian dalam tempoh kurang dari tiga bulan. Hal tersebut dilaporkan terjadi selepas ‘diserang’ gelombang Omicron yang sangat mudah merebak.

Lapor Daily Mail, sebahagian besar kes kematian COVID-19 adalah dari golongan warga emas di bandar raya berkenaan yang menolak untuk menerima vaksinasi.

Wakil dari industri pengebumian memberitahu media tempatan, angka kematian yang meningkat telah menimbulkan masalah bekalan keranda di kota tersebut. Hanya 300 buah keranda dilaporkan tersisa dan dijangka habis menjelang hujung minggu ini.

Masalah bekalan keranda ini turut disahkan pemimpin Hong Kong, Carrie Lam dalam kenyataan beliau hari ini. Menurut Lam, dua lagi trip penghantaran keranda dari tanah besar akan tiba di Hong Kong tidak lama lagi.

“Saya mendapat maklumat dari Biro Makanan dan Kesihatan malam tadi bahawa mereka sedang berusaha untuk mengatur pengangkutan (keranda) melalui jalan air,” kata Lam memetik laporan Daily Mail.

Gambar via Daily Mail

Beliau menambah, pihak berwajib telah cuba membantu keluarga pesakit yang meninggal dunia berkait urusan bedah siasat. Hal ini termasuk cara menuntut jasad pesakit yang telah dibawa ke bilik mayat tanpa perlu pengesahan sijil kematian dari doktor.

“Kami akan cuba mencari jalan untuk keluarga menuntut jasad (pesakit) supaya mereka dapat menguruskan pengebumian tidak lama lagi. Pusat pembakaran mayat juga beroperasi siang dan malam pada kapasiti penuh,” jelas Lam.

Mayat pesakit COVID-19 diletakkan bersama pesakit terlantar

Gambar jasad dipindahkan ke kontena itu dikatakan beredar lima hari selepas mayat pesakit di Hospital Queen Elizabeth, Hong Kong dilihat terlantar di atas pengusung. Malah, mayat-mayat berkenaan dilaporkan berada bersebelahan pesakit lain yang masih hidup.

Seorang petugas perubatan yang berkhidmat di Hospital Queen Elizabeth memberitahu Hong Kong Press, gambar tersebut diambil di wad Kemalangan dan Kecemasan hospital berkenaan dan mula beredar sejak Jumaat lalu.

Gambar yang menunjukkan enam beg mayat diletakkan di atas pengusung bersama pesakit lain yang terlantar di atas katil hospital dikatakan diambil pada awal bulan ini.

Para penyelidik menjangkakan kadar penularan wabak COVID-19 di Hong Kong lebih tinggi berbanding angka rasmi yang dikeluarkan dan telah mencapai separuh dari 7.4 juta populasi mereka.

Sementara itu di tanah besar China, puluhan juta warga diarahkan berkurung di rumah masing-masing minggu ini setelah 3,000 kes baharu direkodkan setiap hari dan menghalang usaha Beijing untuk mengekalkan catatan sifar kes COVID-19.

Sumber: Daily Mail

Eyla Azri

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.