Siakap Keli
otak pesakit COVID-19 mengecut
Gambar: The Guardian

Otak Pesakit COVID-19 Mengecut Walau Dalam Kategori Ringan – Kajian

Setelah membandingkan keadaan otak pesakit sebelum dan selepas dijangkiti COVID-19, penyelidik mendapati otak pesakit mengecut dan terdapat kerosakan tisu pada bahagian yang terkait dengan deria bau.

Menurut dapatan kajian tersebut memetik laporan Business Insider, ia turut memberi kesan kepada kebolehan seseorang dalam melakukan kerja-kerja yang kompleks.

Kajian yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Oxford ini melibatkan 785 individu berusia 51 hingga 81 tahun yang melalui prosedur imbasan otak sebelum dan semasa pandemik COVID-19.

Menurut penyelidik, kesan tersebut turut terjadi pada pesakit COVID-19 kategori ringan, walaupun pesakit tidak dimasukkan ke hospital akibat virus tersebut.

Dalam kes kategori ringan, individu yang terlibat dengan kajian menunjukkan kemerosotan dari segi fungsi eksekutif, di mana fungsi tersebut digunakan untuk fokus dan proses mengatur.

Kajian turut menunjukkan saiz otak pesakit COVID-19 rata-ratanya mengecut di antara 0.2 hingga dua peratus.

Gambar: The Guardian

Cenderung hilang deria bau, skor rendah dalam ujian kemahiran mental

Berdasarkan kajian, pesakit COVID-19 juga cenderung mengalami gejala kehilangan deria bau dan memperoleh skor lebih rendah dalam ujian kemahiran mental berbanding individu yang tidak dijangkiti.

Perbezaan dalam otak orang yang telah dijangkiti virus itu juga berkemungkinan sama dengan penuaan tambahan satu hingga 10 tahun, menurut kajian tersebut.

Kesan ini dikatakan lebih ketara pada mereka yang lebih tua dan pesakit COVID-19 yang yang memerlukan rawatan di hospital.

Pun begitu, menurut ketua pasukan penyelidik Universiti Oxford, Profesor Gwenaƫlle Douaud, kesan yang sama masih jelas pada pesakit COVID-19 kategori ringan atau tanpa gejala.

“Keputusan ini sedikit sebanyak mengkhuatirkan kerana 96 peratus dari peserta kami mengalami jangkitan ringan,” katanya memetik laporan Insider.

Douaud walaubagaimanapun berharap agar neuroplasticity, keupayaan otak untuk membesar menyusun semula dan pulih dengan sendiri dari semasa ke semasa akan sedikit sebanyak memainkan peranan untuk merawat beberapa kerosakan yang berlaku pada otak bekas pesakit COVID-19.

“Kita perlu ingat bahawa tahap penelitian yang dilakukan ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan mungkin selesema akan menyebabkan beberapa kesan yang mungkin serupa,” ujar Douaud.

Sumber: Business Insider, The Guardian

Eyla Azri