INDIA – Seorang remaja berdepan detik mengerikan apabila sebilah sabit tertusuk di kepala selepas terjatuh dari katil, lapor Daily Star.
Kejadian dilaporkan berlaku pada tengah malam 16 Mac lalu ketika remaja berusia 16 tahun itu sedang tidur. Dia kemudiannya terjatuh dari katil dan kepalanya ‘mendarat’ di atas objek tajam tersebut.
Menurut laporan Daily Star, sabit itu digunakan untuk menuai namun ditinggalkan begitu sahaja di atas lantai. Remaja lelaki berkenaan dikatakan terlupa akan keberadaan sabit itu kerana lampu di ruang tersebut tidak berfungsi.
Remaja itu dikejarkan ke hospital di mana doktor melakukan imbasan tomografi berkomputer (CT) dan segera menjalankan pembedahan untuk mengeluarkan sabit tersebut.
Setelah tiga jam menjalani pembedahan, doktor berjaya mengeluarkan sabit tersebut yang telah tertusuk empat sentimeter (cm) ke dalam tengkorak remaja berkenaan.
Menurut pakar saraf, Dr Kuldeep Singh yang turut mengetuai pembedahan, dia mengaku terkejut kerana remaja berkenaan tidak lumpuh dan masih hidup setelah mengalami kecederaan seperti itu.
Malah ketika tertusuk benda tajam itu, tiada darah yang mengalir dari kepala remaja berkenaan. Dia kini sedang dalam proses pemulihan dan dikatakan tidak mengalami sebarang kesakitan.
Sumber: Daily Star