Siakap Keli
instagram rossgram

Rusia Lancar Aplikasi Baharu Rossgram, Ganti Instagram Dari Amerika

Selepas menyekat Instagram, pembangun aplikasi Rusia tidak menunggu lama untuk ‘mengisi kekosongan’ yang ditinggalkan apabila melancarkan satu aplikasi baharu dikenali sebagai Rossgram. Apliaksi ini dikatakan mempunyai fungsi yang hampir sama dengan aplikasi popular berasal dari Amerika Syarikat itu.

Perkhidmatan baharu itu akan dilancarkan pada 28 Mac ini. Selain menawarkan fungsi asas seperti Instagram, Rossgram juga turut mempunyai fungsi tambahan yang lain. Ia termasuk fungsi seperti tabung dana orang ramai dan akses berbayar untuk beberapa kandungan.

“Saya bersama-sama dengan rakan kongsi dan kumpulan-kumpulan pembangun yang lain sudah bersedia untuk memajukan aplikasi baharu ini.

”Kami berpendapat, peluang ini (sekatan terhadap Instagram) tidak harus dilepaskan dan inilah masanya kami menghasilkan aplikasi serupa untuk memenuhi permintaan tinggi warga Rusia” kata Alexander Zobov, Pengarah Kumpulan Pembangun Rossgram.

Berdasarkan perkongsian foto oleh Zobov, aplikasi itu mempunyai persamaan yang ketara dengan Instgram termasuklah penggunaan warna pada logo aplikasi.

Tak puas hati dengan Meta

Terdahulu, Rusia dilapor telah menyekat Instagram bermula 14 Mac selepas tidak berpuas hati dengan keputusan dibuat oleh Meta. Syarikat induk itu sebelum ini mengumumkan pihaknya tidak akan menyekat pengguna-pengguna Instagram di Ukraine daripada memuat naik kempen-kempen penentangan terhadap Rusia. Antaranya seperti mesej “Death to the Russian invaders” di platform miliknya itu.

Meta yang juga pemilik kepada Facebook berkata, ‘perubahan’ sementara terhadap polisi syarikat itu bagaimanapun hanya terpakai untuk pengguna-pengguna di Ukraine sahaja.

Dalam alasannya, Meta menjelaskan bahawa ia merupakan sesuatu yang tidak adil jika pihaknya menyekat warga Ukraine daripada menzahirkan rasa tidak puas hati dan bertindak balas terhadap Rusia selepas menceroboh negara mereka.

Bagaimanapun, Meta turut memaklumkan bahawa polisi baharu itu sudahpun ditambahbaik antaranya menyekat seruan untuk membunuh pemimpin mana-mana negara.

Rusia yang sebelum ini sudahpun mengharamkan Facebook, telah melancarkan siasatan ke atas Meta dan meminta mahkamah untuk melabel syarikat itu sebagai ‘organisasi pelampau’.

Kes ini dijangka akan dibicarakan di mahkamah pada hari Isnin depan.

BACA: Moscow Akan Bertindak Jika Bosnia Sertai Nato

Sumber: Daily Mail

Zahirah