Bagi yang belum tahu, hari ini (21 Mac 2022) merupakan Hari Sindrom Down Sedunia yang diraikan bagi menghargai individu Sindrom Down dan ahli keluarga mereka.
Untuk pengetahuan, 21 Mac dipilih sebagai Hari Sindrom Down Sedunia kerana keunikan triplication (trisomi) kromosom 21 yang ada pada mereka.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), individu dengan Sindrom Down mempunyai lebih satu kromosom pada pasangan kromosom 21 (Trisomi 21).
Kelainan pada kromosom 21 ini menyebabkan ciri-ciri yang ada pada individu Sindrom Down.
Bolehkah Sindrom Down dikesan lebih awal?
Sindrom Down boleh dikesan semasa kehamilan melalui ujian darah, pemeriksaan ultrasound atau analisis cecair ketuban (amniotic fluid).
Sementara itu, kadar kejadian keseluruhannya ialah satu pada setiap 800 kelahiran dan risiko menjadi tinggi dengan bertambahnya umur ibu semasa hamil.
Ciri-ciri fizikal
Individu Sindrom Down mempunyai beberapa ciri fizikal iaitu raut wajah yang rata dengan kedudukan mata sedikit ke atas, telinga yang kecil dan ketinggian yang rendah.
Tidak cuma itu, mereka juga mempunyai satu garis lurus di tapak tangan, tangan yang besar dan jari tangan yang pendek.
Mereka turut mempunyai leher yang pendek, lidah terjelir dan kepala bersaiz kecil.
Perlu diingatkan bahawa setiap kanak-kanak Sindrom Down perlu diperiksa oleh pakar kanak-kanak seawal kelahiran untuk penilaian dan pemantauan kesihatan.
Doktor juga akan membuat saringan terhadap kanak-kanak Sindrom Down untuk mengesan sebarang penyakit jantung kongenital dan merujuk untuk penilaian lanjut jika perlu.
Penyakit ini mungkin memerlukan rawatan perubatan atau pembedahan.
Terapi pemulihan dan penjagaan kesihatan yang baik dapat membantu mereka mencapai keupayaan dan perkembangan maksima serta mampu berdikari.
Program pemulihan boleh didapati di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) atau di pusat-pusat anjuran pertubuhan sukarela bukan kerajaan.
Maklumat lanjut boleh didapati dari pusat sumber tempatan seperti di hospital (klinik kanak-kanak), klinik kesihatan, Pejabat Kebajikan Masyarakat atau Pejabat Pendidikan (Unit Pendidikan Khas).
BACA: (Video) Anak Sindrom Down Peluk Anak Austisme, Cuba Tenangkan Kawannya Yang Menangis
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia, MyHealth, MKN