Siakap Keli

Memahami Air Bawah Tanah: Manfaatnya Dan Cara Pemeliharan Pada Hari Air Sedunia Ini

Hari Air Sedunia yang pertama kalinya dianjurkan pada tahun 1993 dan disambut pada 22 Mac setiap tahun.

Setelah pengisytiharan dilakukan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Hari Air Sedunia disambut untuk meraikan air sambil meningkatkan kesedaran bahawa terdapat 2 bilion orang yang masih hidup tanpa akses kepada air bersih dan selamat. Tumpuan teras Hari Air Sedunia adalah untuk menggalakkan pelaksanaan ke arah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 6: Memastikan kecapaian dan pengurusan mampan air dan sanitasi kepada semua menjelang 2030.

Tema untuk Hari Air Sedunia 2022 ialah “Making the Invisible Visible” dan dalam usaha untuk mencapai matlamat ini, tumpuan adalah untuk menyerlahkan kepentingan air bawah tanah yang selalunya tidak kelihatan, tetapi kesannya boleh dilihat secara meluas. Air bawah tanah memainkan peranan penting dalam kehidupan harian kita dan pembangunan ekonomi sambil memastikan kelestarian alam sekitar.

Apa itu air bawah tanah?

Air bawah tanah ialah air yang terdapat di bawah tanah di celah-celah dan ruang dalam tanah, pasir dan batu di bawah permukaan bumi. Pembentukan geologi tanah, pasir dan batu ini dipanggil akuifer. Proses utama kitaran air bawah tanah ialah penyusupan air hujan ke dalam tanah dan alirannya di dalam batuan dan akhirnya aliran keluar secara semula jadi di mata air dan ke dalam sungai. Perkembangan dalam teknologi pengepaman membolehkan kita mencapai dan menggunakan air bawah tanah dimana ia boleh menambah bekalan air di kawasan yang mempunyai air permukaan terhad.

Di Malaysia yang beriklim tropika, simpanan air bawah tanah dianggarkan sebanyak 5000 bilion meter padu dan kurang daripada 2% daripada simpanan semasa telah digunakan. Penggunaan air bawah tanah di Malaysia kini masih agak rendah iaitu hanya 3% kerana air permukaan merupakan sumber utama bekalan air dimana kebanyakan negeri di negara kita menggunakan air permukaan untuk memenuhi permintaan air yang pelbagai

Penggunaan air bawah tanah yang kurang di Malaysia menawarkan potensi yang tinggi untuk kegunaan masa depan dan oleh itu, kita perlu memeliharanya dengan betul. Kita mesti belajar bagaimana untuk mencegah pencemaran air bawah tanah yang boleh menyekat dan menjejaskan penggunaannya pada masa yang akan datang.

“Penggunaan air bawah tanah di negara kita mungkin tidak begitu ketara, tetapi ia merupakan sumber berpotensi yang boleh kita manfaatkan pada masa hadapan. Kita perlu meningkatkan kesedaran tentang air bawah tanah di kalangan rakyat Malaysia sebagai usaha untuk memelihara sumber itu,” kata Encik Koo Zao Cheong, Pengurus Pembangunan Perniagaan Serantau Waterco Malaysia, penyedia penyelesaian sehenti yang terkemuka untuk persekitaran air yang selamat dan sihat.

Mengapakah penting untuk memelihara air bawah tanah?

Air bawah tanah dalam akuifer bawah tanah adalah sumber air yang paling diperlukan di bumi. Ia memainkan banyak peranan penting dalam pelbagai bidang dimana ia memelihara alam sekitar dan mengecas semula sumber air permukaan sambil membekalkan keperluan air harian isi rumah dan pada masa yang sama, menyokong ekonomi pertanian, industri pemakanan, pengairan dan banyak lagi.

Sekiranya kita tidak mengambil tindakan untuk memelihara air bawah tanah yang merupakan sumber air terbesar di dunia, daya maju akuifer mungkin terancam yang langsung akan menyebabkan masalah dalam pelbagai sektor seperti kesihatan awam.

Tabiat harian kita boleh menyebabkan pencemaran air bawah tanah yang boleh mengeringkan akuifer lebih cepat daripada pengisian yang berlaku secara semula jadi dan apabila akuifer kering, ia akan hilang selama-lamanya sebagai sumber air.

Berikut adalah beberapa cara kita boleh melindungi dan memelihara air bawah tanah.

  • Kurangkan penggunaan bahan kimia di rumah

Kurangkan penggunaan bahan kimia di rumah atau tukar kepada produk pembersihan semula jadi. Selalunya kita beranggapan bahawa bahan kimia diperlukan untuk kebersihan yang mantap dan mungkin ia dapat menjadikan jubin bilik mandi anda kelihatan berkilat tetapi penggunaannya akan menjejaskan alam sekitar!

Barangan yang terdapat di rumah seperti jus lemon, serbuk penaik dan cuka juga bagus digunakan untuk pembersihan. Bahan-bahan tersebut bukan sahaja mesra alam tetapi juga menjimatkan!

Bagi mereka yang minat bercucuk tanam, cuba hadkan penggunaan racun perosak atau baja kimia untuk taman anda. Pilih bahan terbiodegradasi yang selamat dan tidak toksik yang tidak menjejaskan alam semula jadi.

  • Pasang sistem penapisan air

Untuk memainkan peranan dalam memelihara sumber asli kita, anda boleh memasang sistem penapisan air di rumah untuk menapis air terpakai sebelum mengalirkannya keluar. Ini boleh membantu mengekalkan kebersihan air bawah tanah kita dengan membendung pencemaran yang datangnya dari rumah kita.

“Setiap isi rumah boleh memanfaatkan sistem penapisan air yang cekap untuk mengelakkan pencemaran air bawah tanah. Jika setiap individu memainkan peranan mereka dengan memerhatikan amalan pemeliharaan, kita tidak perlu risau tentang kelestarian air bawah tanah. Salah satu cara terbaik untuk memastikan sistem semula jadi air bawah tanah kekal sihat dan selamat adalah dengan mengelakkan berlakunya pencemaran,” kata Encik Koo.

  • Gunakan air dengan bijak untuk mengelakkan pembaziran air

Salah satu amalan buruk penggunaan air yang perlu diubah ialah apabila kita membiarkan air terus mengalir semasa memberus gigi. Menurut EPA Amerika Syarikat (Agensi Perlindungan Alam Sekitar), membiarkan air mengalir semasa memberus gigi membuang purata empat gelen air setiap kali. Dalam isi rumah empat orang, dimana setiap orang memberus dua kali setiap hari, sebanyak 32 gelen air akan dibazirkan. Pada masa yang sama, pastikan anda memeriksa semua paip, lekapan, tandas dan pili di rumah anda untuk kebocoran bagi mengelakkan pembaziran air dan baiki dengan segera jika perlu.

Walaupun ramai yang suka menghabiskan masa yang lama dalam bilik mandi, cabar diri anda dengan mengehadkan masa mandi kerana anda mungkin menggunakan lebih banyak air daripada yang anda perlukan apabila anda mandi terlalu lama. Selain itu, ingat untuk hanya menggunakan mesin basuh anda apabila ia dimuatkan ke kapasiti yang penuh untuk penggunaan air yang cekap.

  • Buang bahan toksik dengan betul

Jangan tuangkan sisa berbahaya ke dalam longkang atau di atas tanah kerana ini boleh mencemari air bawah tanah. Sisa berbahaya yang diperbuat daripada bahan toksik termasuk minyak motor, cat, ubat gegat, produk pembersihan serta beberapa jenis ubat. Kita mungkin ingin menjimatkan masa dengan menuang cecair ke dalam singki atau membuang sisa yang tidak diingini ke dalam tong sampah tetapi tindakan ini terbukti berbahaya dan ia lebih baik untuk membuang bahan-bahan tersebut dengan betul atau di kawasan yang ditetapkan seperti yang dinasihatkan oleh majlis tempatan anda.

  • Pengurang, guna semula dan kitar semula (Reduce, reuse, and recycle)

Kurangkan penggunaan produk yang tidak diperlukan (reduce), gunakan semula apa yang boleh (reuse), dan kitar semula kertas, plastik, kadbod, kaca, aluminium dan bahan lain yang boleh dikitar semula (recycle). Dengan mengamalkan 3R ini, kita dapat memastikan persekitaran air yang lebih bersih dan sihat dengan mengurangkan bahan pencemaran yang berbahaya daripada terus menuju ke sungai, laut dan bekalan air yang lain.

Jika anda ingin melakukan sesuatu yang lebih untuk memulihkan sistem semula jadi kita, anda memulakan proses pengkomposan dengan meletakkan sisa organik ke dalam tong kompos. Sisa-sisa organik yang bertukar ke kompos boleh ditambah ke dalam tanah untuk membantu tumbuh-tumbuhan menjadi lebih sihat. Apabila sisa makanan dan sisa taman dikomposkan, kita dapat mengurangkan sisa yang mengalir ke sistem perairan dan tapak pelupusan sampah. Amalan lestari ini boleh meninggalkan kesan yang amat positif kepada alam sekitar kita.

Air bawah tanah adalah salah satu sumber yang paling berharga dan penting dan ia merupakan tanggungjawab kita untuk melindungi dan memeliharanya untuk anak-anak kita. Peranan pentingnya dalam mengekalkan ekosistem planet mesti ditekankan dan kita tidak boleh mengambil mudah komponen alam yang terpenting ini. Air bawah tanah perlu diurus dan dilindungi dengan betul untuk memastikan kemampanannya dan kita juga perlu mengetengahkan kepentingan air bawah tanah dengan melibatkan diri dalam pendidikan air supaya kita lebih bersedia untuk membuat keputusan ke arah masa depan yang bersih dan mampan.

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.