Paparan laman sesawang syarikat penerbangan China Eastern Airlines telah ditukar kepada warna hitam dan putih, lapor NDTV.
Pertukaran tersebut dibuat susulan tragedi sebuah pesawatnya, MU5735 yang terhempas dalam satu kejadian sebentar tadi.
Difahamkan, ia dipercayai bertujuan untuk solidariti atau ‘berkabung’ dan tanda penghormatan kepada mangsa-mangsa yang terlibat.
“Laman sesawang China Eastern Airlines telah menukar warna paparan kepada hitam dan putih ekoran tragedi tersebut, sebagai tanda penghormatan kepada mangsa-mangsa terlibat,” lapor NDTV.
Menurut NDTV, sebelum itu pesawat China Eastern Airlines tersebut yang membawa penumpang seramai 133 orang dilapor terhempas di kawasan pergunungan di China.
“Pesawat model Boeing 737 tersebut mengalami kemalangan di Guangxi yang telah berlepas dari Kunming menuju ke arah Guangzhou.
“Ia sepatutnya mendarat di lapangan terbang Guangzhou pada jam 3:05 minit petang.
“Nahas itu juga dilaporkan telah menyebabkan kebakaran menerusi satu video yang menunjukkan asap putih menyelimuti kawasan tersebut,” lapor NDTV
Terdahulu, jumlah mangsa terkorban masih lagi belum dapat dipastikan namun pasukan penyelamat telah bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan misi.
Memetik NDTV, pesawat tersebut dikesan kali terkahir pada jam 2:22 petang waktu tempatan pada ketinggian 3,225 kaki dengan kelajuan 376 knot.
Difahamkan, pesawat tersebut bukanlah Boeing Max generasi baharu model yang pernah terlibat dalam nahas sebelum ini.
“Pesawat Max sebelum ini yang telah diperbaharui enjinnya digantung pada Mac 2019 berikutan kemalangan maut di Indonesia dan Ethopia.
“Pesawat tersebut masih belum kembali berkhidmat secara komersial di China,” lapor NDTV.
Menurut Rangkaian Keselamatan Penerbangan China, kemalangan maut terakhir yang melibatkan pesawat China adalah pada tahun 2010.
“Sebanyak 44 daripada 96 penumpang maut apabila pesawat E-190 yang diterbangkan oleh Henan Airlines terhempas ketika menghampiri lapangan terbang Yichun dalam jarak penglihatan yang rendah,” lapor NDTV lagi.
Sumber: NDTV, China Eastern