Siakap Keli
pesawat china eastern airlines

Pesawat China Eastern Airlines Bawa 133 Penumpang Dilapor Terhempas

Sebuah pesawat China Eastern Airlines MU5735 yang membawa lebih 133 orang penumpang dilaporkan telah terhempas di pergunungan di China, lapor Mirror.

Menurut laporan, pesawat China Eastern Airlines model Boeing 737 yang terbang dari Kunming ke Guangzhou itu mengalami kemalangan di Guangxi.

Pesawat itu berlepas dari Kunming pada pukul 1.11 petang (waktu tempatan) dan dijadualkan tiba di Guangzhou pada pukul 3.05 petang.

Bagaimanapun, jumlah mangsa yang terkorban masih belum diketahui namun pasukan penyelamat dilaporkan sedang bergegas ke kawasan pergunungan itu.

Sementara itu, Jabatan Pengurusan Kecemasan Guangxi berkata kemalangan yang dialami oleh pesawat itu juga telah menyebabkan kebakaran di gunung berkenaan.

“Pada masa ini, pasukan penyelamat telah berkumpul dan sedang mendekati kawasan pergunungan itu tetapi keadaan mangsa masih belum dapat diketahui,” katanya.

Tidak cuma itu, pasukan Bomba Wuzhou turut mengerahkan pasukan penyelamat ke tempat kejadian, kata seorang pegawai.

Asap menyelimuti pergunungan kawasan pesawat China Eastern Airlines terhempas

Dalam sebuah video yang dikongsi di media sosial, asap putih dilihat menyelimuti kawasan pergunungan itu dan menunjukkan kawasan tersebut terbakar.

Selain itu, tular juga mengenai satu imej yang mendakwa bahawa kepingan besar pesawat itu ditemui di kawasan tersebut oleh penduduk tempatan.

Data penerbangan yang didakwa dari penerbangan itu menunjukkan pesawat itu jatuh beribu-ribu kaki ke tanah dalam beberapa minit.

Tapak pengesanan penerbangan juga melaporkan bahawa pesawat itu berada di udara selama lebih sejam dan hampir tiba ke destinasinya, lapor BBC.

Menurut data FlightRadar24, maklumat sumber terakhir pada penerbangan itu menunjukkan ia berakhir pada pukul 2.22 petang waktu tempatan, pada ketinggian 3,225 kaki.

Memetik laporan Global Times, ini adalah nahas udara pertama di China sejak insiden di Yichun, Wilayah Heilongjiang di Timur Laut China pada 2010.

Media sosial kini dipenuhi dengan doa dari warganet yang berharap agar misi menyelamat penumpang-penumpang di dalam pesawat tersebut berjaya.

 

Sumber: Mirror.co

Sofea

There's always another side to every story