Siakap Keli
pesawat tentera AS terhempas
Gambar via NY Post

Pesawat Tentera AS Terhempas Ketika Jalani Latihan NATO

NORWAY – Sebuah pesawat tentera Amerika Syarikat (AS) yang membawa empat anak kapal dilaporkan terhempas di daerah Beiarn, selatan Bodø, pada Jumaat, lapor CNN.

Insiden berkenaan turut disahkan oleh Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Støre dalam satu kenyataan di laman Twitter rasmi, hari ini.

“Dengan dukacitanya kami menerima mesej bahawa empat orang tentera AS terkorban dalam nahas pesawat malam semalam.

“Tentera-tentera berkenaan terlibat dalam latihan Cold Response NATO (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara),” kata Støre, turut mengucap takziah kepada keluarga mangsa.

Menurut angkatan tentera Norway, pesawat yang terhempas semalam adalah MV-22B Osprey milik Unit Tentera Ekspedisi Marin II (MEF) AS yang sedang menjalani misi latihan di Nordland County, utara Norway.

Ketika kejadian, pesawat berkenaan dalam perjalanan ke Bodø dan dijangka tiba sebelum jam 6 petang semalam waktu tempatan.

Pihak polis memetik laporan NY Post berkata, misi mencari dan menyelamat dimulakan serta merta dan pesawat itu ditemui oleh helikopter penyelamat pada jam 1.30 pagi hari ini.

Menurut Ketua Polis Nordland, Bent Arne Eilertsen, pesawat itu terlihat seperti mengalami kerosakan besar.

“Kami telah diberitahu bahawa ia adalah pesawat AS dengan orang Amerika di dalamnya,” ujar Eilertsen memetik CNN.

Setakat ini, punca pesawat berkenaan terhempas masih belum dapat dikenal pasti. Namun, program latihan masih tetap diteruskan seperti dalam perancangan.

Sementara itu, angkatan tentera Norway memaklumkan bahawa langkah-langkah tertentu akan diambil kira dalam latihan Cold Response kerana faktor cuaca yang sejuk.

Difahamkan, latihan tahunan Cold Response di bawah NATO itu telah bermula sejak 14 Mac lalu dan dijangka berakhir pada 1 April.

Namun begitu, latihan tersebut dikatakan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan peperangan yang tercetus di Ukraine.

Pada tahun ini, sebanyak 30,000 tentera, 220 pesawat tempur dan 50 buah kapal dari 27 negara dihantar untuk menyertai latihan Cold Response.

Latihan itu turut disertai negara bukan ahli NATO iaitu Finland dan Sweden.

Sumber: NY Post, CNN

Eyla Azri