Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pesawat Tentera Udara Nigeria Terhempas, Ragut 32 Nyawa

Pesawat Tentera Udara Nigeria
Paparan Video Tular Ketika Operasi Menyelamat. Kredit: Ondo State Connect

Sebuah pesawat Tentera Udara Nigeria terhempas di barat daya negara itu pada Isnin, mengorbankan kesemua 32 individu yang berada di dalam pesawat berkenaan.

Menurut AFP, pesawat yang membawa 25 penumpang dan tujuh anak kapal itu sedang menjalankan misi rutin dari Benin City di selatan Nigeria menuju Lagos.

Bagaimanapun, pesawat itu terhempas di Igbokoda, negeri Ondo tidak lama selepas jam 9 pagi.

Pejabat Presiden Nigeria memaklumkan pesawat berkenaan terhempas berhampiran sebuah pangkalan tentera laut.

Pesawat itu dikenal pasti sebagai ATR-42, sebuah pesawat turboprop enjin berkembar yang mampu membawa antara 30 hingga 50 penumpang.

Sebuah video yang tersebar di media sosial menunjukkan orang ramai berkumpul berhampiran sungai ketika pasukan penyelamat melakukan pencarian menggunakan bot.

Tentera Udara Nigeria akan mendedahkan identiti mangsa selepas keluarga mereka dimaklumkan terlebih dahulu.

“Ini merupakan detik yang menyakitkan buat angkatan tentera dan seluruh negara,” kata Presiden Nigeria, Bola Tinubu.

Tinubu turut mengisytiharkan tiga hari berkabung di seluruh negara bagi anggota Tentera Udara yang terkorban dalam nahas berkenaan.

Beliau juga mengarahkan bendera dikibarkan separuh tiang di seluruh negara sebagai tanda penghormatan kepada mangsa.

Dalam masa sama, Presiden mengarahkan Tentera Udara Nigeria segera menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca nahas dan mengelakkan kejadian sama berulang.

Bunyi Seperti Guruh

Sementara itu, Dayo Akinte, 39, seorang penjual kayu api yang tinggal kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian, berkata beliau terdengar bunyi yang disangkanya seperti 'guruh'.

Menurutnya, seorang individu yang pergi menangkap ikan di kawasan paya kemudian memaklumkan kejadian itu kepada pangkalan tentera laut berhampiran dan penduduk di kawasan tersebut.

“Sejak nahas itu berlaku, tiga pesawat turut terbang di sekitar lokasi kejadian”, katanya.

Jurucakap Tentera Udara, Ehimen Ejodame berkata operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan serta agensi tindak balas kecemasan.

Nahas itu merupakan antara kemalangan penerbangan tentera paling buruk di Nigeria dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, selain menjadi insiden terbaharu dalam sejarah panjang kemalangan seumpamanya.

Pada Mei 2021, Panglima Tentera Darat Nigeria, Leftenan Jeneral Ibrahim Attahiru dan 10 pegawai lain terbunuh apabila pesawat mereka terhempas dalam cuaca buruk ketika cuba mendarat di lapangan terbang di negeri Kaduna, utara Nigeria.

Bagaimanapun, hasil siasatan mengenai punca kemalangan tersebut tidak pernah didedahkan.

Selain itu, seramai tujuh orang maut pada Ogos 2015 apabila sebuah pesawat tentera terhempas ke atas sebuah rumah di Utara Nigeria, mengorbankan semua individu yang berada di dalamnya.

Pada bulan yang sama, sebuah helikopter terhempas ke dalam lagun di Lagos, mengorbankan enam orang termasuk juruterbang warga Amerika Syarikat.

Sumber:AFP.com
Intipati
  • Pesawat Tentera Udara Nigeria terhempas di Igbokoda, negeri Ondo, mengorbankan 32 individu.
  • Pesawat ATR-42 itu membawa 25 penumpang dan tujuh anak kapal dalam misi rutin.
  • Bola Tinubu mengisytiharkan tiga hari berkabung dan mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan