Siakap Keli
pesawat china mu5735 terhempas
Gambar via Twitter

Kronologi Pesawat China Eastern Airlines Terhempas, Terjunam Setinggi 29 Ribu Kaki

Semalam, dunia dikejutkan dengan tragedi sebuah pesawat China Eastern Airlines MU5735 yang dilaporkan terhempas di kawasan pergunungan di China.

Menurut CNN, data pengawasan menunjukkan pesawat berkenaan mula terjunam dengan sangat laju pada ketinggian 29,000 kaki sebelum didapati terhempas.

Berikut adalah kronologi tragedi nahas pesawat Boeing 737 penerbangan MU5735 yang terhempas pada 21 Mac 2022.

Pesawat berlepas dari Kunming

Pesawat jenis Boeing 737 ini telah berlepas dari Kunming kira-kira jam 1.11 petang (waktu tempatan) semalam dan dijangka tiba di Guangzhou pada jam 3.05 petang.

Namun menurut CGTN, pesawat yang membawa 132 orang penumpang termasuk sembilan anak kapal itu itu masih belum tiba pada jam 2.52 petang.

Susulan ‘kehilangan’ itu, pesawat tersebut dikategorikan sebagai tidak dapat dihubungi.

CAAC sahkan pesawat terhempas

Pada jam 4.54 petang semalam, Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) mengesahkan sebuah pesawat Boeing 737 terhempas di kawasan pergunungan di Guangxi Zhuang.

CAAC telah mengaktifkan mekanisme kecemasan dan menghantar pasukan ke tempat kejadian.

Laman web China Eastern Airlines bertukar hitam putih

Pada jam 5.07 petang China Eastern Airlines telah menukar laman web rasminya kepada warna hitam dan putih sebagai tanda berkabung atas nahas pesawat MU5735.

Gambar via CGTN

Api dipadamkan di kawasan nahas

Menurut autoriti setempat, memetik laporan CGTN, api berjaya di kawasan nahas berjaya dipadamkan kira-kira jam 5.27 petang.

Seramai 450 anggota pemadam kebakaran hutan dari wilayah Guangdong (300 anggota) dan Guilin (150 anggota) dikerahkan ke tempat kejadian.

Misi menyelamat dijalankan

Operasi menyelamat telah dijalankan pada jam 5.47 petang. Ketika itu, jumlah korban masih belum dapat dikenalpasti.

Nahas berkenaan telah mengakibatkan kebakaran di gunung, tempat pesawat China Eastern Airlines MU5735 itu terhempas.

Kumpulan penyelamat pertama tiba di lokasi kejadian

Pasukan bomba dan penyelamat Wuzhou yang terdiri dari 23 trak bomba, 117 penyelamat, dan kumpulan pertama tiba di tempat kejadian pada jam 5.50 petang.

Sementara itu, 538 anggota penyelamat dari Nanning, Liuzhou, Guilin, Beihai, Yulin, Hezhou, Laibin, dan Hechi bergegas ke tempat kejadian sebagai pasukan sokongan.

Tapak nahas pesawat dikenalpasti

Pada jam 6.58 petang, pasukan penyelamat mengenalpasti tapak nahas pesawat MU5735 yang terletak di Kota Langnan, di perkampungan Molang.

Gambar via CGTN

Saham Boeing jatuh

Kira-kira jam 7.24 malam, kurang lima jam selepas pesawat jenis Boeing 737 dilaporkan terhempas, saham syarikat pengeluar Boeing jatuh sebanyak lapan peratus.

Sementara itu, nilai saham syarikat penerbangan China Eastern Airlines di Hong Kong turut menjunam sebanyak 6.5 peratus.

China Eastern Airlines sekat pesawat Boeing 737

Pada jam 7.32 malam, China Eastern Airlines menyekat semua pesawat jenis Boeing 737-800 dari syarikat penerbangan tersebut dari melakukan penerbangan selepas kejadian nahas.

Gambar: BBC

Keluarga anak kapal tiba di Yunnan

Ahli keluarga dari beberapa anak kapal yang berada di dalam pesawat MU5735 tiba di cawangan China Eastern Airlines di Yunnan untuk mendapat maklumat berkaitan nahas.

Setakat ini, masih belum ada pengesahan rasmi berkaitan keadaan 132 mangsa dari pesawat MU5735, sekaligus menimbulkan kebimbangan bahawa terdapat peluang yang tipis untuk mencari mereka yang terselamat.

Misi menyelamat kini masih sedang berjalan dan punca siasatan masih belum dikenal pasti.

Sumber: SCMP, CGTN

Eyla Azri

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.