Siakap Keli
pemilik restoran
Gambar: Bangkok Post

Pemilik Restoran Terima Pujian, ‘Sponsor’ Makan & Hadiah ‘Birthday’ Gadis Ini

Seorang pemilik restoran, Panumas Sroitong tidak dapat menahan sebak selepas dia dan kakitangannya di restoran Halo Shabu menawarkan seorang lelaki hadiah yang tidak ternilai untuk diberikan kepada anak perempuannya pada Sabtu.

Sebilangan besar warganet telah menghantar mesej penghargaan kepada pemilik restoran itu atas hadiah yang diberikannya kepada seorang lelaki dan anak perempuannya.

Simbol hati dan ibu jari membanjiri laman Facebook restoran Halo Shabu selepas Panumas Sroitong menghadiahkan gadis itu hadiah hari jadi yang tidak akan dilupakannya.

Saya berharap perkara yang baik akan kembali ke restoran ini,” tulis Ntp Changpauk.

Saya menghargainya. Semoga perniagaan anda semakin maju,” tulis akaun lain bernama Ann Kansinee.

Tidak cukup wang

Difahamkan lelaki tersebut membawa anak perempuannya ke restoran di daerah Wang Chan di Rayong kira-kira jam 1 tengah hari pada hari Sabtu kerana dia ingin menjamah shabu-shabu, hidangan hotpot Jepun, untuk hari lahirnya.

Kemudian, seorang pelayan yang melayani mereka telah terdengar si bapa menyuruh anak perempuannya makan seorang diri kerana dia tidak cukup wang untuk menampung makanan mereka berdua.

Dia memberitahu gadis itu bahawa dia akan menunggunya di luar restoran sementara dia menikmati makanan Jepun itu.

Pun begitu, anak perempuannya telah menolak permintaan bapanya itu melainkan mereka makan secara bersama.

Menikmati hidangan secara percuma

Pelayan itu pun memberitahu Cik Panumas tentang apa yang didengarnya dan ketika kedua-duanya berdiri untuk keluar dari restoran, pelayan dan pemilik restoran itu tadi telah menghalang mereka dan menawarkan kepada mereka untuk menikmati hidangan itu secara percuma.

Ketika pemilik restoran itu mengetahui bahawa makanan itu adalah sempena sambutan hari lahir kanak-kanak tersebut, dia telah mengarahkan kakitangannya untuk membelikan gadis itu kek hari jadi di kedai berhampiran.

“Saya dapat rasakan betapa sayangnya dia terhadap anak perempuannya,” kata Cik Panumas kepada beberapa media.

Satu rakaman video yang menyentuh hati menunjukkan Cik Panumas dan kakitangannya menangis ketika mereka melihat lelaki itu melayani anak perempuannya pada hari jadinya.

“Alangkah baiknya jika ibu bella (bukan nama sebenar gadis itu) dapat bersama kita hari ini,” kata Cik Panumas, memetik kata-kata bapa gadis tersebut.

Selesai sahaja menjamah makanan, lelaki itu dan anak perempuannya itu terus mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan.

Sebaik berada di luar restoran, satu lagi klip menunjukkan si bapa memeluk anak perempuannya sebelum mereka berlalu pergi.

Gambar: Bangkok Post

Dia akan berasa sangat gembira. Kasih sayang yang diberikan oleh ayahnya tidak terkata,” tulis seseorang bernama Theerayuth Soda di bahagian komen posting Facebook pemilik restoran itu.

Sementara itu, pemilik restoran berkata bahawa dia tahu nama dan alamat lelaki itu tetapi mahu menghormati privasinya.

Lelaki itu juga tidak mahu ditemu bual oleh media atau menerima sebarang bantuan kewangan yang ditawarkan kepadanya.

“Bagi pihak bapa dan kanak-kanak itu, terima kasih atas semua tawaran bantuan anda,” tulisnya pemilik restoran tersebut.

BACA: Logo Disengetkan, Rusia Dilapor Buka Perniagaan Burger ‘Uncle Vanya’ Ganti McDonald’s

Sumber: Bangkok Post

Aireena Marizan