Siakap Keli
uncle vanya
Gambar: Google

Logo Disengetkan, Rusia Dilapor Buka Perniagaan Burger ‘Uncle Vanya’ Ganti McDonald’s

Rangkaian perniagaan burger yang sedang berkembang di Rusia iaitu ‘Uncle Vanya’ dilaporkan menjadi pengganti kepada McDonald’s.

Memetik laporan New York Post, Uncle Vanya baru-baru ini mendedahkan logo yang kelihatan sangat mirip dengan “Golden Arches” iaitu logo yang digunakan oleh McDonald’s.

Pemfailan tanda dagangan pada 12 Mac menunjukkan imej yang hampir menyerupai logo McDonald’s yang dipusingkan.

Logo menyerupai McDonald’s

Ia menunjukkan huruf Cyrillic “B” yang merujuk kepada “V” bagi Uncle Vanya. Tambahan lagi, logo itu juga dicetak dengan warna kuning dan latar belakang merah.

Permohonan tanda dagangan itu tular dalam talian selepas pegawai Rusia menyatakan mereka mengalih keluar perlindungan paten untuk syarikat yang dikaitkan dengan negara yang dianggap memusuhi Rusia.

Difahamkan, ia merupakan satu tindak balas terhadap sekatan antarabangsa dan pemindahan besar-besaran syarikat Barat sebagai tindak balas kepada pencerobohan ke atas Ukraine.

Awal bulan ini, Presiden Rusia, Vladimir Putin dilaporkan telah mencadangkan agar Kremlin bergerak untuk merampas aset daripada syarikat yang keluar dari negara itu.

Beliau telah memperkenalkan ‘pengurusan luar’ dan memindahkan perusahaan kepada mereka yang ingin bekerja.

Oleh itu, McDonald’s mungkin dipilih sebagai salah satu sasarannya.

Vyacheslav Volodin, pegawai tertinggi negeri Duma di Rusia berkata bahawa, restoran Rusia harus mengambil alih lokasi McDonald’s – dengan rujukan khusus kepada restoran Uncle Vanya.

“Mereka mengumumkan bahawa mereka akan tutup. Okay, tutuplah. Tapi esok lokasi tersebut dah tidak akan ada McDonald’s dah, hanya akan ada Uncle Vanya sahaja,” kata Volodin.

Terdahulu, McDonald’s dilaporkan menutup semua restorannya iaitu kira-kira di 850 lokasi di negara itu susulan peperangan di antara Rusia dan Ukraine.

Bagaimanapun, syarikat makanan segera itu merancang untuk terus membayar gaji 62,000 pekerja di negara itu sepanjang penutupannya.

“Ketika kami bergerak ke hadapan, McDonald’s akan terus menilai keadaan dan menentukan sama ada sebarang langkah tambahan diperlukan.

“Pada ketika ini, adalah mustahil untuk meramalkan bila kami mungkin dapat membuka semula restoran kami di Rusia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif McDonald’s, Chris Kempczinski.

Sebelum penutupan kesemua restoran itu, orang ramai beratur panjang untuk mendapatkan makanan di restoran tersebut buat kali terakhir.

Dalam pada itu, media juga melaporkan bahawa ramai rakyat Rusia yang menjual produk McDonald’s pada harga yang terlalu tinggi melalui platform dalam talian.

Malah, tular mengenai satu kiriman di Reddit yang mendakwa bahawa seorang warga Rusia memenuhi peti sejuknya dengan burger McDonald’s sebelum penutupan secara rasminya.

Sumber: New York Post

Sofea

There's always another side to every story